Atlet profesional turut diberikan sokongan Gold Paris

Ahmad Shapawi Ismail
Ahmad Shapawi Ismail
A
A
A

ATLET bergerak secara profesional turut diberikan sokongan dan bantuan terbaik menerusi program Gold Paris dalam merealisasikan kilauan emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, kesemua atlet yang berpotensi untuk layak atau menyumbang pingat di Olimpik, tidak kira sama ada bergerak secara profesional atau melalui persatuan kebangsaan akan diberikan bantuan di bawah program berkenaan.

“Namun, kita akan bincangkan dahulu prosedur atau kaedah untuk membantu atlet di bawah program Gold Paris 2024. Setakat ini kita memang sudah kenal pasti atlet terlibat namun tidak dapat dikongsikan buat masa ini,”katanya ketika ditemui pemberita di MSN pada Khamis.

Beliau berkata, bantuan yang akan diberikan menerusi program Gold Paris merupakan sebahagian Program Podium sedia ada MSN namun mempunyai pengkhususan kepada persiapan atlet negara menghadapi temasya sukan terbesar dunia itu.

Program Gold Paris akan dikelaskan kepada dua kelompok atlet iaitu yang mampu layak serta berpotensi menyumbangkan pingat emas.

Atlet yang tersenarai dalam program Gold Paris, dijangka diumumkan secara rasmi pada bulan depan.

Ahmad Shapawi berkata, atlet bukan sahaja dibantu dari sudut sains sukan dan perbelanjaan malah program itu bersedia untuk membekalkan apa-apa jenis keperluan terbaik buat atlet yang berpotensi meraih pingat di temasya berkenaan.

Pemain badminton perseorangan lelaki Lee Zii Jia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (beregu lelaki), Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai (beregu campuran) antara atlet profesional yang bukan di bawah naungan persatuan sukan kebangsaan yang dilihat berpotensi layak ke Olimpik.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengucapkan tahniah kepada skuad boling negara yang muncul naib juara Kejohanan Tenpin Boling Asia (ATBC) di Hong Kong, apabila berjaya membawa pulang empat pingat emas, lima perak dan tiga gangsa.

“Saya memang sangat gembira dengan prestasi skuad boling negara. Memang ada ganjaran untuk mereka menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM),” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!