Isi minyak berulang bongkar kegiatan seleweng diesel
KAJANG - Tindakan mencurigakan beberapa lori yang membuat pengisian minyak secara berulang di sebuah stesen minyak di kawasan Cheras di sini sekali gus membongkarkan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi pada Khamis.
Risikan yang dijalankan selama sebulan itu mendapati diesel bersubsidi tersebut kemudian dibawa ke sebuah premis untuk dialihkan dan disimpan.
Kegiatan penyelewengan itu bagaimanapun tumpas apabila serbuan dijalankan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) mendapat lebih 120,330 liter diesel yang dianggarkan bernilai lebih RM 258,709 disimpan secara tidak sah di premis berkenaan.
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Shamsul Nizam Khalil berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira jam 5 petang itu turut memberkas 19 lelaki warga tempatan dan warga asing dipercayai bekerja sebagai pemandu lori tangki.
"Antara individu diberkas terdiri 15 lelaki warga tempatan, tiga lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Indonesia.
"Selain itu, serbuan dijalankan turut merampas dua buah lori tangki, 13 lori bonded, 25 tong dipercayai berisi minyak diesel bersubsidi dan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk menyedut keluar diesel yang disyaki diseleweng dan wang tunai berjumlah RM6,000, kesemua sitaan dianggarkan bernilai RM700,000," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas serbuan di sebuah premis di Cheras di sini pada Khamis.
Katanya, siasatan mendapati diesel bersubsidi ini dibeli dari sebuah stesen minyak berhampiran.
"Intipan yang dijalankan sebelum ini mendapati penyelewengan ini dijalankan lebih sebulan di mana lori ini akan melakukan pengisian secara berulang sebelum dibawa ke premis ini untuk dialihkan serta disimpan.
"Kes disiasat di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
Ujar Shamsul, pihaknya sentiasa menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana elemen melibatkan penyelewengan barangan bersubsidi.
"Operasi akan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras penyelewengan bahan bersubsidi seperti diesel ini.
"Orang ramai diminta agar terus memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat terhadap sebarang kegiatan penyelewengan bagi memastikan tindakan tegas terus diambil," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!