Tujuh ditahan terlibat kes samun berkumpulan
KOTA KINABALU - Tujuh individu termasuk seorang wanita ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam tiga kes samun berkumpulan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, enam lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 21 hingga 36 tahun itu ditahan bersama beberapa barangan kes membabitkan tiga kes samun berkumpulan yang dilaporkan antara Ahad hingga Isnin lalu.
"Kes pertama berlaku kira-kira jam 10.20 malam Sabtu di tempat letak kenderaan di sebuah apartment di mana seorang wanita yang bekerja sebagai pengurus jualan disamun dan beg sandang yang mengandungi RM15,000 bersama beberapa barang berharga dilarikan suspek yang menaiki motosikal bersama rakannya.
"Hasil siasatan keesokan harinya, polis berjaya menahan suspek lelaki berusia 21 tahun dan merampas wang RM2,500 bersama motosikal yang digunakan dalam kes samun.
"Seorang lagi suspek lelaki berusia 42 tahun berjaya ditahan hari ini dan beberapa barangan mangsa termasuk telefon bimbit, kad bank dan dokumen peribadi berjaya dirampas," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya lagi, kes samun kedua dan ketiga dilaporkan pada Ahad melibatkan seorang pemandu E-hailing yang disamun oleh dua suspek di Manggatal manakala seorang lagi pelajar wanita disamun di Sulaman Sentral.
"Pemandu berkenaan baru selesai menghantar rakannya namun ditahan dua suspek di mana salah seorang daripadanya menggunakan senjata jenis kayu sebelum bertindak memaksa mangsa membuka cermin kereta dan merampas dompet mangsa serta melarikan wang tunai RM70.
"Namun, kedua-dua suspek lelaki berusia 35 tahun dan wanita 36 tahun disyaki terlibat dalam kes ini berjaya ditahan.
"Kes ketiga pula berlaku pada hari yang sama pada jam 8 malam di Sulaman Sentral membabitkan pelajar yang telah disamun dan telefon bimbit dilarikan suspek.
"Mangsa sempat bergelut dengan suspek dan turut diseret sehingga cedera oleh kenderaan suspek sebelum berjaya menghilangkan diri, namun tiga suspek berkenaan akhirnya berjaya ditahan," katanya.
Mohd Zaidi berkata, semua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!