KPKT teliti aduan projek PR1MA alami kelewatan
SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti aduan berkaitan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) khususnya bagi projek yang mengalami kelewatan atau di bawah status sakit.
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, beliau telah mengadakan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff pada Khamis.
“Walaupun sebelum ini sudah ada taklimat awal yang disampaikan di KPKT, saya hargai kesediaan mereka untuk memberikan perincian yang lebih mendalam.
“Selain memperhalusi pelan tindakan yang diambil oleh pengurusan PR1MA bagi mengatasi masalah yang dihadapi, saya akan tetap susuli dengan lawatan ke tapak-tapak projek berkenaan.
“Ikhtiar ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun matlamat akhirnya adalah untuk memastikan pembeli mendapat rumah kediamannya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.
Program PR1MA merupakan dimulakan pada tahun 2011 dengan objektif menyediakan perumahan kepada rakyat Malaysia berpendapatan menengah.
Pada 15 Februari 2022, syarikat itu memaklumkan terdapat sebanyak 21 ‘projek sakit’ di bawah program tersebut sehingga menyebabkan terdapat pembeli terpaksa menunggu sehingga lima tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!