Usaha bela nasib kanak-kanak teraniaya
TERDAPAT dua kisah yang menyayat hati dilaporkan oleh media mengenai nasib kanak-kanak semalam.
Pertama, mengenai kekejaman seorang ibu muda yang sanggup membunuh anaknya kerana berdepan masalah keluarga dan dalam proses penceraian dengan suaminya.
Wanita berusia 20 tahun itu direman seminggu selepas disyaki mendera hingga menyebabkan kematian anak kandung lelakinya berusia setahun enam bulan di sebuah inap desa di sebuah kondominium di Cyberjaya, 12 Januari lalu.
Kisah kedua pula mengenai kecekalan dan pengorbanan pasangan suami isteri menjaga empat anak kembar mereka yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
Mereka telah menunggu hampir tujuh tahun untuk mendapatkan cahaya mata dan akhirnya dikurniakan kembar empat.
Namun, pasangan itu diuji apabila keempat-empat anak mereka itu mengalami masalah pembelajaran, lambat bertutur dan hiperaktif.
Marilah kita semua mendoakan pasangan suami isteri yang menjaga anak syurga mereka itu pula diberikan kemudahan dan kesenangan.
Sementara ibu berhati iblis yang sanggup membunuh anaknya itu diberikan balasan setimpal di dunia dan di akhirat.
Kisah ini memberikan kesan yang amat mendalam kepada kita semua mengenai nasib dan masa depan kanak-kanak di negara ini.
Menyentuh tentang nasib kanak-kanak di Malaysia, Sinar Harian menyambut baik usaha kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Kanak-Kanak bertujuan melindungi dan memelihara mereka daripada penganiayaan, eksploitasi, jenayah seksual serta pencabulan hak asasi.
Penubuhan suruhanjaya itu membuktikan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan, kesejahteraan dan perlindungan kanak-kanak.
Difahamkan fungsi suruhanjaya itu adalah untuk mempromosi kesedaran dan pendidikan terhadap hak kanak-kanak kepada kerajaan dan orang awam.
Ia juga berperanan menasihati dan membantu kerajaan dalam menggubal perundangan, arahan pentadbiran serta prosedur dan mengesyorkan tindakan yang perlu diambil.
Selain itu, suruhanjaya berkenaan juga berfungsi menasihati kerajaan berhubung obligasi antarabangsa di bawah Convention on the Rights of the Child (CRC).
Justeru, kita amat berharap masa depan kanak-kanak di negara ini akan lebih cerah dan terbela nasib mereka dengan adanya suruhanjaya tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!