Terperangkap dalam kontena selepas bermain dengan rakan

Video tular yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki warga asing dijumpai di dalam kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada Selasa.
Video tular yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki warga asing dijumpai di dalam kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada Selasa.
A
A
A

KLANG - Bermain dengan rakannya menjadi punca seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh masuk ke dalam sebuah kontena dan terkunci, sebelum ditemukan di dalam kontena tersebut di Pelabuhan Barat di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.

"Berdasarkan keterangan daripada mangsa menjelaskan semasa bermain bersama kawan di Bangladesh, dia telah masuk ke dalam kontena dan terkunci.

"Kita telah merujuk kes itu kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk menguruskan dokumen mangsa serta penghantaran pulang dengan menggunakan kapal kargo yang sama," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Hoong Fong berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan berkaitan kes kanak-kanak lelaki warga asing dijumpai di dalam kontena di Pelabuhan Barat di sini, pada Selasa.

"Kita menerima laporan itu daripada seorang lelaki yang juga pekerja operasi perkapalan berusia 43 tahun pada jam 1.53 petang, Rabu," katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian pada jam 9 malam, Selasa, semasa pengadu menguruskan kapal masuk di Dermaga Pelabuhan Barat serta pemeriksaan sebuah kontena mendapati seorang kanak-kanak lelaki warga asing berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

"Semakan ke atas mangsa mendapati tiada sebarang identiti pengenalan diri. Siasatan lanjut mendapati sebuah kapal telah bertolak dari Chittagong, Bangladesh pada 12 Januari lalu dengan membawa kontena yang mengandungi muatan barangan am dan tiba di Pelabuhan Barat pada Selasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mangsa dipercayai telah masuk secara haram ke dalam kontena ketika kapal berlabuh di Chittangong, Bangladesh.

"Rawatan telah dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang ke atas mangsa dan doktor mengesahkan mangsa dalam keadaan stabil," katanya.

Pada Khamis, video mengenai penemuan kanak-kanak itu tular di media sosial selepas dipercayai terkunci di dalam kontena berkenaan selama enam hari.

Video berdurasi 56 saat itu memaparkan kanak-kanak berkenaan dalam keadaan lemah tidak bermaya keluar dari kontena sebaik pintunya dibuka oleh anggota Polis Bantuan pelabuhan tersebut.

Berdasarkan maklumat sumber, salah seorang kakitangan pelabuhan itu mendakwa terdengar bunyi ketukan dari dalam kontena, sebelum menjumpai kanak-kanak tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!