LATAR jangka pertambahan kenderaan hingga 30 peratus

Ahmad Fuad (dua dari kanan) menyerahkan cenderahati kepada pengguna jalan raya pada Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Ijok pada Jumaat.
Ahmad Fuad (dua dari kanan) menyerahkan cenderahati kepada pengguna jalan raya pada Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Ijok pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) dijangka mencatatkan pertambahan jumlah kenderaan antara 20 hingga 30 peratus di lebuh raya itu berikutan pengumuman kerajaan mengenai pengecualian bayaran tol sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada Jumaat dan Sabtu ini.

Ketua Pegawai Operasi LATAR, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi berkata, sebanyak 250,000 jumlah kenderaan dijangka menikmati tol percuma sepanjang 33 kilometer bermula dari laluan utara Templer Park ke Ijok.

Menurutnya, LATAR juga sudah bersiap sedia dengan peningkatan jumlah kenderaan untuk memastikan urusan perjalanan pulang orang ramai ke kampung halaman masing-masing dalam keadaan selamat dan selesa.

"Malah, petugas peronda jalan raya LATAR juga bersiap-siaga dalam tempoh 24 jam untuk memastikan trafik lancar dan bersedia sekiranya berlaku kerosakan kenderaan, kemalangan atau apa-apa perkara tidak diingini berlaku di laluan ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Ijok di sini pada Jumaat.

Ahmad Fuad berkata, pengguna jalan raya juga dinasihatkan memandu secara berhati-hati terutama dengan peningkatan jumlah kenderaan.

Ujar beliau, pemandu kenderaan perlu memastikan kesihatan mereka dalam keadaan baik semasa memandu selain kenderaan mereka diselenggara.

"Kita berharap pengguna jalan raya berwaspada dengan situasi semasa seperti keadaan trafik dan hujan bagi mengelak kemalangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian bayaran tol akan diberikan kepada pengguna lebuh raya seluruh negara membabitkan semua kelas kenderaan pada 20 dan 21 Januari ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Anwar berkata, pengecualian bayaran tol selama dua hari itu akan membabitkan peruntukan sebanyak RM40 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!