Warga emas maut, kereta bertembung

Dua buah Perodua Myvi yang terlibat kemalangan di KM21 Jalan Lipis-Merapoh pada Jumaat meragut nyawa seorang wanita warga emas. - Foto ihsan PDRM
Dua buah Perodua Myvi yang terlibat kemalangan di KM21 Jalan Lipis-Merapoh pada Jumaat meragut nyawa seorang wanita warga emas. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

LIPIS - Seorang warga emas maut selepas kereta dinaikinya bertembung dengan kenderaan lain di Kilometer (KM) 21, Jalan Lipis-Merapoh pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor memberitahu, mangsa, Hasnah Mohamed, 80, dari Kampung Raja, Pasir Puteh, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, empat mangsa terdiri tiga lelaki dan seorang wanita cedera manakala dua lagi iaitu seorang lelaki dan wanita tidak mengalami sebarang kecederan.

"Siasatan awal mendapati, kereta Myvi kelabu yang dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun dalam perjalanan dari arah Kelantan menghala ke Kuala Lumpur.

"Sebuah lagi Myvi putih yang dipandu lelaki berusia 40 tahun itu pula dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur hendak ke Kelantan.

"Tiba di tempat kejadian, kereta Myvi putih dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan Myvi kelabu lalu bertembung secara berhadapan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujar beliau, seorang penumpang Myvi kelabu yang juga ibu kepada pemandu kereta itu telah meninggal dunia di tempat kejadian selepas disahkan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel Berkaitan:

Tambah Azli, seorang lagi wanita berusia 77 yang juga penumpang kereta Myvi kelabu itu mengalami kecederaan dalaman manakala pemandu kereta bersama anaknya seorang lelaki berusia 21 tahun cedera ringan.

"Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun tidak cedera.

"Pemandu Myvi putih pula cedera di bahagian muka dan penumpang kereta tersebut iaitu lelaki berusia 29 tahun tidak cedera," ujar beliau kesemua mangsa terlibat dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk mendapat rawatan lanjut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!