'Arwah tidak tunjuk perubahan ketara'
KUANTAN - Remaja perempuan yang meninggal dunia akibat dihempap pokok besar dalam kejadian angin kencang di Kampung Balok Baru, kira-kira jam 6 petang, Khamis tidak menunjukkan tanda pelik atau perubahan ketara pada dirinya.
Bapa mangsa, Mohamad Hasnizam Manan, 45, berkata, sebaliknya Aliya Zahra ada minta membawanya ke kedai untuk membeli beberapa barangan keperluan diri dan makan piza.
Menurutnya, semua pemintaan dipenuhi dan membuatkan dirinya sekeluarga reda dengan pemergian anak ketiga daripada tujuh beradik itu.
"Saya tidak nampak tanda pelik ditunjukkan oleh arwah, selain beberapa permintaan itu," katanya pada Jumaat.
Mohamad Hasnizam menyifatkan arwah sebagai seorang anak yang baik dan banyak membantu urusan keluarga.
“Dia memang pandai jaga adik-adiknya dan menjadi harapan kami sekeluarga. Arwah juga seorang yang rajin mengaji.
"Setiap hujung minggu, arwah tidak pernah tinggal untuk pergi belajar mengaji dan saya harap adik-adiknya juga mengikuti jejak langkah kakaknya,” harapan bapa kepada tujuh anak itu.
Dia yang bekerja sebagai peniaga burger di Kampung Baru Balok memberitahu, dia bersama isteri, Maznah Abdul Ghani, 36, melayan pelanggan di gerai miliknya ketika kejadian berlaku.
Bercerita lanjut Mohamad Hasnizam berkata, dia ada mendengar bunyi pokok tumbang seperti ribut, bagaimanapun empat anaknya ada bersama.
"Saya tidak sangka ada perkara lain berlaku apabila secara tiba-tiba didatangi seorang penduduk memaklumkan Aliya yang duduk di hujung jalan telah dihempap.
“Pokok yang tumbang itu terlalu besar dan tinggi jadi bila tumbang anak saya yang berada di Lorong 16 juga terkena,” katanya yang memaklumkan arwah bersekolah di Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Pelabuhan.
Mohamad Hasnizam berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian yang dianggarkan kira-kira 20 meter dari gerainya, arwah telah dikeluarkan oleh penduduk setempat daripada rimbunan dahan-dahan yang patah.
Jelasnya, arwah terkena pada bahagian hujung pokok dan keadaannya ketika itu tidak menunjukkan ada kecederaan serius tetapi hanya mengalami pendarahan di hidung.
“Adik-adiknya tidak tahu kakak mereka terlibat dalam kejadian itu dan bila diberitahu mereka sangat terkejut.
“Kami sempat membawa arwah ke hospital selepas menerima pemeriksaan awal oleh pihak bomba dan anak saya disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)," luahnya dengan nada sedih.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Cerul Satu, Kemaman, Terengganu pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!