Aktivis mahu kerajaan percepat mansuh hukuman mati

Malaysia perlu menuruti langkah kebanyakan negara lain dengan melaksanakan sistem yang lebih adil dan tidak hanya tertumpu pada aspek pembalasan. - Foto hiasan/Bernama
Malaysia perlu menuruti langkah kebanyakan negara lain dengan melaksanakan sistem yang lebih adil dan tidak hanya tertumpu pada aspek pembalasan. - Foto hiasan/Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pada Jun tahun lepas, Malaysia mengumumkan hasratnya untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan bukan keganasan dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang sewajarnya.

Kini, setelah mengharungi satu perjalanan yang jauh dan berliku, ia semakin hampir untuk direalisasikan.

Usai penubuhan kerajaan baharu yang diterajui oleh Pakatan Harapan yang sebelum ini menangguhkan pelaksanaan hukuman mati semasa menjadi kerajaan pada 2018, usaha meminda undang-undang berkaitan bersambung semula.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dalam satu kenyataan pada 10 Januari lalu berkata, mereka sedang menyemak semula hukuman gantian sebelum dibentangkan di Parlimen bulan depan.

Semasa bacaan kali pertama pindaan undang-undang untuk memansuhkan hukuman mati mandatori pada 6 Oktober 2022, ia antara lain mengusulkan hukuman itu diganti dengan penjara sepanjang hayat. Hingga kini belum ada perkembangan baharu tentang hukuman gantian tersebut.

"(Bezanya cuma) sama ada seseorang itu menjalani hukuman gantung dan mati, atau dipenjarakan sepanjang hayat sehingga mati. Namun, ia tetap satu perubahan yang besar, iaitu tiada lagi hukuman mati dan terserah kepada budi bicara hakim untuk menjatuhkan hukuman,” kata Datuk Seri M Ramachelvam, Pengerusi Jawatankuasa Reformasi Undang-Undang dan Bidang Khas Majlis Peguam Malaysia.

Kerajaan sebelum ini mengemukakan pindaan membabitkan tujuh undang-undang iaitu Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022; Rang Undang-Undang Penculikan (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Senjata (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022.

Empat hari selepas pindaan undang-undang itu dibentangkan, Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15.

Artikel Berkaitan:

Memandangkan usaha itu telah bersambung semula, peguam dan aktivis hak asasi manusia menggesa kerajaan menimbang lebih banyak reformasi hukuman termasuk mengemukakan lebih banyak hukuman gantian bagi hukuman mati mandatori serta hitam putih nasib banduan yang sedang menunggu pelaksanaan hukuman mati.

Aktivis berkata, Malaysia perlu menuruti langkah kebanyakan negara lain dengan melaksanakan sistem yang lebih adil dan tidak hanya tertumpu pada aspek pembalasan tetapi turut membenarkan pemulihan, perubahan dan penyertaan semula ke dalam masyarakat, sekalipun rata-rata orang awam menyokong hukuman mati.

Akan tetapi, kebanyakan hukuman di Malaysia adalah bersifat pembalasan.

Bekas Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam), Abdul Rashid Ismail berkata, usul pindaan yang dikemukakan itu bukan satu keadilan.

"Bagi saya, hukuman gantian yang disyorkan itu berbentuk regresif kerana hukuman penjara sepanjang hayat tidak seiring dengan prinsip yang kita mahu ketengahkan, iaitu memulihkan dan mengubah mereka yang telah melakukan jenayah,” katanya.

"Kita sekarang berada di tahun 2023. Konsep lantaskan dendam sebegini sudah tidak lagi relevan,” tambah beliau.

Bagaimanapun tinjauan pendapat awam dalam tempoh sedekad lalu menunjukkan masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang berpegang pada konsep setiap kesalahan perlu dikenakan hukuman setimpal.

Sokongan awam bercampur-campur

Tinjauan demi tinjauan yang dilakukan mendapati kebanyakan rakyat di negara ini amat menyokong hukuman mati. Namun, ia agak kompleks dan sokongan mereka juga tidak semestinya tidak boleh diubah.

Kajian oleh The Centre - satu kumpulan pemikir berpangkalan di Kuala Lumpur - pada 2018, dan penyelidikan yang dijalankan oleh Prof Madya Dr Saralah Devi Mariamdaran Chethiyar serta pasukannya daripada Universiti Utara Malaysia pada 2021, mendapati kebanyakan yang menyokong hukuman mati melihatnya sebagai langkah pencegahan.

Ada juga yang berpegang pada konsep pembalasan. Faktor lain yang mempengaruhi mereka, sama ada menyokong atau menentang hukuman mati, ialah kos dan pemulihan.

Bernama menemu bual beberapa ahli masyarakat dan jawapan mereka pelbagai - ada yang memang mahu hukuman mati dan habis di situ, sementara yang lain menyokong hukuman mati bagi jenayah ganas dan kejam, dan ada pula yang mentah-mentah menolak hukuman mati.

"Saya lebih suka hukuman mati dikekalkan. Jika terbukti mereka bersalah (melakukan jenayah), kenapa kita nak biarkan mereka hidup? Mereka tidak menyumbang apa-apa kepada masyarakat,” kata Anis, seorang penganalisis kewangan berusia 34 tahun.

Apabila ditanya tentang kes keldai dadah yang kebanyakannya melibatkan golongan miskin dan tidak berpendidikan - contohnya kes ibu tunggal berusia 55 tahun dan mempunyai sembilan anak di Sabah yang dijatuhi hukuman mati pada 2021 kerana menyeludup dadah - Anis berkata, dia bersimpati dengan kes sedemikian, namun kemiskinan bukan alasan untuk melakukan jenayah.

Katanya, wanita itu boleh lakukan kerja lain untuk menyara hidup.

Yang lain-lain pula mempunyai pandangan berbeza dengan ada juga yang menyangkakan Malaysia sudahpun memansuhkan hukuman mati berikutan pelaksanaan penangguhan hukuman atau moratorium sebelum ini.

Eksekutif Pemasaran, Yap Swe Lan, 35, pula berkata, dia tidak menyokong hukuman mati kecuali untuk kes-kes tertentu.

"Bagi saya (keldai dadah) hanya wajar dihukum penjara, tidak kiralah mereka tahu ataupun tidak tahu tentang dadah yang dibawa. Ini kerana sesetengah daripada mereka adalah miskin.

"Justeru, untuk kes sebegini, mereka yang disabitkan kesalahan bolehlah dijatuhi hukuman yang lebih ringan seperti penjara 10 atau 20 tahun,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, kes bunuh dengan niat seperti serangan bom buatan sendiri di Pandan Indah yang meragut nyawa seorang lelaki baru-baru ini, memang wajar dikenakan hukuman mati.

Bagi Ahmad Arif Abu Zaimah, 26, yang baru saja menceburi dunia pekerjaan sebagai jurutera, dia menentang hukuman mati kerana hukuman itu adalah muktamad.

Katanya, wajar ada pilihan yang membolehkan penjenayah menjalani pemulihan.

"Ini lebih baik berbanding hukuman mati. Sepatutnya perlu ada lebih banyak hukuman lain yang memberikan peluang kedua kepada penjenayah. Mereka masih boleh menyumbang kepada masyarakat,” katanya, terutama selepas mendengar kisah Chu Tak Fai, seorang warga British-Hong Kong yang menjalani hukuman penjara selama 27 tahun kerana menyeludup dadah jenis heroin.

Tak Fai sebenarnya dijatuhi hukuman mati namun diringankan kepada penjara sepanjang hayat.

Semasa di penjara, Tak Fai memeluk agama Islam dan menjadi banduan contoh.

Bernama melaporkan perjalanan hidup Tak Fai pada Januari 2021, selepas dia diberikan pengampunan oleh Sultan Kedah beberapa bulan sebelum itu. Selepas dibebaskan, dia kembali ke Hong Kong.

Abdul Rashid berkata, tidak ramai yang melihat aspek pemulihan dalam sistem hukuman atau faktor peringanan sesebuah kes, dan ini yang menyebabkan mereka menyokong hukuman mati.

"Hukuman mati mandatori adalah hukuman yang tidak adil kerana anda tidak menimbang keadaan peribadi individu tersebut.

"Contohnya, seseorang yang ada masalah kesihatan mental, sekali gus menimbulkan persoalan tentang kebersalahannya. Di bawah sistem mandatori, mahkamah tidak berkemampuan untuk mengambil kira aspek berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, mendidik masyarakat umum tentang nuansa serta pelbagai situasi dalam kes membabitkan hukuman mati mandatori akan membantu meningkatkan pemahaman mereka tentang isu itu.

Pada 2013, Roger Hood yang menjalankan kajian bertajuk ‘Death Penalty Project on Malaysians’ attitude’ mendapati hanya separuh daripada responden menyokong hukuman mati setelah mereka dikemukakan pelbagai senario.

Kajian oleh The Centre pada 2018 pula mendapati semakin meningkat usia dan semakin banyak pendapatan yang diperoleh, bertambah kurang kemungkinan mereka menyokong hukuman mati.

Yang peliknya, mereka yang mempunyai pendidikan tinggi merekodkan 45 peratus lebih kemungkinan menyokong hukuman mati. Kaum Melayu paling kurang menyokong hukuman itu, manakala kaum Cina mencatatkan 16 peratus lebih berkemungkinan menyokong dan India pula 18 peratus.

Singkirkan ketidakpastian

Dalam isu ini, ada perkara lain yang harus dilihat. Walaupun fokus adalah pada pemansuhan hukuman mati, tidak banyak yang menyebut tentang nasib 1,327 banduan hukuman mati dengan kebanyakannya disabitkan kesalahan dadah dan diikuti pesalah kes pembunuhan.

Aktivis hak asasi bimbang pindaan yang dibuat tidak akan menangani isu tersebut.

Disebabkan moratorium, pelaksanaan hukuman mati ke atas mereka juga ditangguhkan, namun ada sesetengah banduan yang berisiko menjalani hukuman mati sebaik pindaan diluluskan.

Menurut Amnesty International, perlu ada kejelasan dalam undang-undang bahawa pelaksanaannya adalah secara retroaktif dan semua banduan hukuman mati akan mempunyai peluang untuk hukuman mereka ditimbang semula oleh mahkamah.

Pengarah Eksekutif Amnesty International, Katrina Jorene Maliamauv memberitahu Bernama setakat ini kerajaan tidak menangani isu tersebut.

"Ini amat membimbangkan kerana usul pada Oktober itu tidak mengandungi sebarang peruntukan tentang peringanan hukuman ke atas lebih 1,300 banduan hukuman mati berikutan perubahan yang pada dasarnya melanjutkan keadaan terumbang-ambing mereka selama beberapa tahun lagi.

"Ia juga membawa kemungkinan yang mereka akan menjalani hukuman itu, dan jika ini yang terjadi, maka ia adalah sesuatu yang amat kejam,” katanya dalam e-mel kepada Bernama.

"Ia merupakan satu ruang untuk memberikan peluang kedua dan membolehkan hakim menimbang setiap kes secara berasingan, yang selama ini tidak dapat diambil kira disebabkan hukuman mati mandatori. Peluang ini tidak boleh dilepaskan.”

Tambah beliau, sebarang hukuman alternatif yang diperkenalkan sebagai gantian kepada hukuman mati mestilah konsisten dengan prinsip pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa.

Ramachelvam bersetuju dan berkata, kesimpulannya perlu ada satu perubahan yang menyeluruh berhubung hukuman yang bakal dikenakan dalam sistem mahkamah dan sistem keadilan jenayah.

Satu caranya ialah menubuhkan sebuah majlis khusus bagi menggubal garis panduan tentang hukuman, bergantung pada jenis kesalahan.

"Hukuman mati atau penjara sepanjang hayat sepatutnya dijatuhi untuk kes yang amat jarang berlaku. Ia tidak boleh dijadikan mandatori merentasi semua kes. Ia juga tidak harus bersifat teknikal dan mekanikal di mana anda ditangkap memiliki sejumlah dadah, sekali gus anda bakal berdepan hukuman penjara sepanjang hayat. Saya berpendapat dari segi moral, ia tidak kena pada tempatnya,” kata beliau. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!