Pertindihan tarikh bukan sebab lari, kata peguam Siti Bainun
KUALA LUMPUR - Pertindihan tarikh dengan kes lain disyaki menjadi punca peguam mewakili pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali menarik diri.
Peguam, Nurul Hafidzah Hassan berkata, pertindihan tarikh itu menyebabkan mereka terpaksa menarik diri kerana beberapa kes telah ditetapkan tarikh lebih awal.
"Kita ada komitmen dari Januari hingga Mac, tidak boleh nak buat apa sebab banyak kerja sudah tertangguh sejak tahun lalu dan semua masuk bicara.
"Pertindihan tarikh dengan kes yang telah ditetapkan lebih awal dan memerlukan penyediaan rapi, terpaksa menarik diri sebab tiada tarikh lapang yang sama," katanya menerusi Instagramnya pada Rabu.
Beliau berkata, dalam istilah undang-undang penarikan diri peguam adalah biasa.
"Kali ini kerana pertindihan tarikh bukan sebab lari, kita sudah maklum dari Disember lalu bahawa tidak dapat hadir kalau tarikh pada Januari, Februari dan Mac," katanya.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan tindakan dua peguam menarik diri di saat akhir semasa prosiding bela diri kes mengabai dan menganiaya kanak-kanak perempuan dikenali Bella, menyebabkan Siti Bainun menangis di kandang tertuduh di Mahkamah Sesyen di sini.
Siti Bainun, 31, dilihat mengesat air mata ketika Hakim Izralizam Sanusi memaklumkan, mahkamah telah menerima notis penarikan diri daripada peguam, Asiah Jalil dan Nurul Hafidzah pada jam 9 malam, Isnin.
Dengan penarikan dua peguam itu, ini menjadikan kesemua peguam dari lima firma, tidak lagi mewakili wanita itu dalam prosiding bela dirinya.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan tiga peguam yang mewakili Siti Bainun menarik diri iaitu Mohammad Farhan Maaruf, Nur Ellena Mohamed Razif dan Nur A’minahtul Mardiah Md Nor.
Mohammad Farhan dan Nur Ellena memfailkan permohonan itu secara bertulis pada Jumaat lalu manakala Nur A’minahtul membuat permohonan menarik diri secara terbuka.
Pada 24 November tahun lalu, Siti Bainun diperintah untuk membela diri atas dua pertuduhan tersebut.
Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Pada 20 November 2021, Siti Bainun didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!