Nikah sindiket boleh sebabkan perkahwinan terbubar, tidak sah

Pernikahan dijalankan di luar negara yang didapati tidak sah kerana tidak menepati hukum syarak boleh difaraqkan atau dibubarkan. - Gambar hiasan
Pernikahan dijalankan di luar negara yang didapati tidak sah kerana tidak menepati hukum syarak boleh difaraqkan atau dibubarkan. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Khutbah Jumaat di seluruh masjid Selangor hari ini mengingatkan bahawa pernikahan dijalankan di luar negara yang didapati tidak sah kerana tidak menepati hukum syarak boleh difaraqkan atau dibubarkan.

Dalam khutbah Jumaat yang dikeluarkan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor, ia turut memaklumkan bahana lain yang bakal dihadapi oleh pasangan berkahwin secara sindiket antaranya proses pendaftaran pernikahan memakan masa panjang dan bertambah rumit sekiranya dokumen tidak mencukupi atau palsu.

Menerusi khutbah bertajuk 'Bahana Nikah Sindiket', ia menekankan pernikahan yang tidak didaftarkan, tiada Surat Perakuan Nikah akan diperolehi dan tanpanya kelahiran anak tidak dapat didaftarkan seperti biasa.

"Ia mengakibatkan status pengesahtarafan dan warganegara tidak dapat dipastikan sekali gus memberi masalah kepada urusan perubatan, rawatan dan pendidikan anak-anak.

"Pengurusan harta pusaka turut terkesan kerana pihak berkaitan gagal mengemukakan dokumen pernikahan yang diiktiraf selain memberi masalah kepada tuntutan lain seperti perceraian, pengesahtarafan anak, nafkah, hadhanah, harta sepencarian dan sebagainya," katanya.

Teks khutbah Jumaat itu turut menyatakan nasihat kepada umat Islam khususnya di negeri Selangor agar mengikut undang-undang dan peraturan pihak berkuasa agama jika ingin melangsungkan perkahwinan.

Ujarnya, pelbagai faktor utama dikenal pasti menjadi punca berlakunya pernikahan di luar negara atau menggunakan sindiket termasuk berpoligami tanpa kebenaran selain mendakwa wali nasab sedia ada tidak bersetuju atau enggan meneruskan perkahwinan tersebut.

"Ada juga kes melibatkan pasangan terlanjur hingga mengandung dan mereka menganggap bernikah di luar negara dapat menutup aib. Hakikatnya setiap perbuatan dosa itu tetap wajib bertaubat dan bersedia bertanggungjawab dengan kelahiran anak yang mungkin menjadi tidak sah taraf.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, pasangan bernikah dengan warga asing atau rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara menganggap tidak perlu mendapatkan kebenaran dari pihak bertanggungjawab," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!