Sorok burung bayan RM20,000 dalam tandas

Tujuh ekor burung bayan bernilai RM20,000 dirampas menerusi Operasi Bersepadu Khazanah di sebuah rumah di Kuala Rompin, Pahang Isnin lalu. - Foto Perhilitan
Tujuh ekor burung bayan bernilai RM20,000 dirampas menerusi Operasi Bersepadu Khazanah di sebuah rumah di Kuala Rompin, Pahang Isnin lalu. - Foto Perhilitan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan menjual dan menyorok pelbagai spesies burung bayan tempatan yang dilindungi bernilai RM20,000 di dalam ruangan tandas terbongkar selepas sebuah rumah di Kuala Rompin, Pahang diserbu pada Isnin lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi kira-kira jam 2.30 pagi itu dijalankan anggotanya dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara Skuadron Perisai 9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Menurutnya, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) itu menemui tujuh ekor burung bayan tempatan dari spesies bayan nuri, bayan serindit dan bayan puling yang disimpan di ruang tandas rumah terbabit.

"Dianggarkan nilai burung terbabit berjumlah RM20,000.

"Seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang juga aktif menjual burung telah ditahan kerana gagal mempamerkan dokumen penyimpanan hidupan liar terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek menyewa rumah berkenaan yang terletak di perkampungan Orang Asli.

Katanya, burung terbabit juga dipercayai adalah untuk pasaran berdasarkan permintaan daripada pembeli.

"Namun, siasatan masih dijalankan sama ada aktiviti jualan itu dibuat secara dalam talian atau bersemuka.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga tidak tolak kemungkinan suspek menyewa rumah di kawasan perkampungan Orang Asli bagi mengaburi dan mengelakkan daripada dikesan oleh penguat kuasa," ujarnya.

Tambahnya, kesemua rampasan dibawa ke Pejabat Jabatan Perhilitan Daerah Rompin, Pahang untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!