Paip pecah di Prima Sri Gombak dijangka selesai pada Oktober

Amirudin (tengah) melakukan perbincangan dengan pihak Air Selangor bagi menangani isu paip pecah yang kerap berlaku di Prima Sri Gombak.
Amirudin (tengah) melakukan perbincangan dengan pihak Air Selangor bagi menangani isu paip pecah yang kerap berlaku di Prima Sri Gombak.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan mengambil tindakan jangka masa pendek dan panjang bagi menangani masalah paip pecah yang kerap berlaku di Prima Sri Gombak.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagi penyelesaian jangka panjang pertukaran paip akan dilaksanakan di jajaran sepanjang 838 meter di kawasan Sri Gombak.

Menurut beliau, paip itu akan ditukar baharu yang lebih berkualiti dan berdaya tahan serta dijangka selesai selewat-lewatnya Oktober tahun ini.

"Bagi penyelesaian jangka pendek, Air Selangor akan memasang ‘valve’ bagi mengurangkan kawasan gangguan dan jumlah pengguna yang terkesan dan akan diselesaikan selewat-lewatnya Mac ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Amirudin memberitahu, beliau telah bertemu dan memanggil pihak Air Selangor bagi menyelesaikan isu kekerapan paip pecah di Prima Sri Gombak.

"Saya telah mendengar taklimat dan penjelasan daripada pihak Air Selangor berkenaan situasi semasa keadaan paip di jajaran sepanjang Prima Sri Gombak dan kawasan berdekatan," jelas beliau.

Menurut Amirudin, Air Selangor menjelaskan kejadian paip pecah di Sri Gombak disebabkan paip jenis Asbestos Cement (AC) 450 milimeter yang berusia lebih 20 tahun.

"Oleh kerana jenis paip ini dikira usang dan berusia serta cenderung bocor atau rosak akibat tekanan tinggi menyebabkan gangguan sering berlaku," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!