Agensi tunggal sempadan di peringkat akhir penubuhan
Beliau berkata, inisiatif SBA yang dirancang sejak 2018 bagi menggantikan lebih 20 agensi penguat kuasa itu akan mengambil contoh agensi sempadan di negara antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan New Zealand.
"Kini di peringkat akhir perbincangan ke arah menterjemahkan idea SBA, kita tahu bahawa kawal selia sempadan biasa melibatkan banyak agensi, kalau kita berhasil wujudkan SBA, itu adalah arah tuju paling tepat untuk kita laksana penambahbaikan terhadap pengawalan sempadan negara.
"Dalam melaksanakan inisiatif ini, lebih 20 agensi akan disatukan antaranya Jabatan Imigresen, MAQIS (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia), Jabatan Kastam, kesemua agensi ini kita satukan tanpa kompromi terhadap elemen keselamatan sebaliknya memanfaatkan teknologi dengan mengambil contoh amalan baik di beberapa negara antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Menangani Kesesakan di Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini pada Jumaat.
Saifuddin Nasution berkata, pihaknya sedang melakukan penyelarasan perincian akhir dengan beberapa agensi kerajaan terlibat sebelum pelaksanaan SBA dimulakan secepat mungkin.
"Ini bukan pengalaman baharu, sewaktu penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) lepas, ia melibatkan sembilan agensi berbeza antaranya Tentera Laut dan Jabatan Perikanan. Kesemua agensi itu telah melalui proses libat urus dan menjadi satu agensi tunggal.
"Selepas Maritim Malaysia diwujudkan, ia merupakan satu keputusan yang betul kerana kawalan sempadan maritim negara lebih terkawal jika diukur daripada sudut angka jenayah maritim.
"Sebab itu kita beri konotasi kita akan wujudkan satu agensi tunggal yang berkuat kuasa atas sempadan, tetapi mesti ada akta yang mengawal selia semua itu," katanya.
Jemaah Menteri pada 30 Julai 2021 telah memutuskan untuk mewujudkan SBA yang akan mengawal pintu masuk negara termasuk pelabuhan berikutan isu kesesakan di Tambak Johor.
Tujuh fungsi SBA di pintu masuk iaitu pemeriksaan orang, pemeriksaan barangan dan kargo, kuarantin dan pemeriksaan bagi tumbuhan dan binatang serta makanan, pemeriksaan berkaitan hidupan liar, pemeriksaan kenderaan persendirian dan perdagangan, pemeriksaan kesihatan bagi kawalan penyakit dan farmasi dan penguatkuasaan keselamatan.
Mengenai kesesakan laluan masuk keluar antara Malaysia dan Singapura, Saifuddin Nasution berkata, laluan e-gate di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri telah dibuka untuk bukan warganegara mulai hari ini.
Beliau berkata, inisiatif itu antara langkah penyelesaian jangka pendek yang diambil untuk mempercepat aliran keluar masuk pengembara di kedua-dua kompleks CIQ berkenaan sekali gus memanfaatkan 30,000 hingga 50,000 warga Singapura yang berulang alik ke Johor untuk tujuan sosial.
"Sebelum ini, e-gate hanya terhad kepada kegunaan pemegang pasport Malaysia iaitu rakyat tempatan sahaja tetapi mulai hari ini kita membuat keputusan untuk membuka akses laluan masuk ini kepada warga Singapura yang menggunakan e-passport.
"Selain itu, jumlah laluan e-gate di BSI juga akan ditambah. Ketika ini jumlah e-gate yang ada ialah sebanyak 20 laluan masuk dan 20 keluar, jadi kita akan tambah lagi 20 laluan," katanya sambil menambah BSI merekodkan seramai lebih 200,000 pengembara sehari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!