Sherman mahu jadi penyerang digeruni
TONGGAL baharu Sri Pahang FC, Kpah Sherman mahu menjadi penyerang digeruni musim ini selain percaya dia mampu memperkuatkan barisan hadapan bersama Lucas Silva.
Sherman menjadi taruhan baharu Sri Pahang untuk bergandingan dengan bekas pemain Penang FC, Silva sekali gus menyaksikan skuad kendalian Fandi Ahmad itu akan mempunyai bahagian serangan yang lebih tajam bagi musim 2023.
Bagi pemain dari Liberia itu, Terengganu FC telah memberikan pengalaman yang cukup berbeza kepadanya apabila berjaya menjadi penjaring terbanyak Piala Malaysia musim lalu.
Dilabel sebagai mesin gol, Sherman mengakui harapan tinggi diletakkan atas bahunya dan sudah tentu dengan kualiti yang ada, dia ingin menjadi salah seorang penyerang yang lebih baik kali ini.
“Sudah tentu rasa bagus apabila ada orang yang meletakkan harapan besar kepada kita dan saya harap dapat memberikan yang terbaik kepada Pahang dalam Liga Super.
“Saya ingin bekerja lebih keras dan melakukan sedaya upaya melebihi musim lepas, mana tahu mungkin dapat meraih anugerah lagi.
“Saya memang nak menjaringkan lebih banyak gol, tetapi misi utama adalah bagaimana saya dapat membantu pasukan ini untuk menjadi pesaing yang hebat,” katanya.
Mengagumi karakter pengendalinya, Fandi Ahmad membuatkan Sherman berbesar hati untuk berada di bawah bimbingan legenda Singapura itu.
Dia percaya, Fandi mampu untuk kembali meletakkan Sri Pahang di tahap lebih baik.
“Saya memang tahu bagaimana hebatnya jurulatih seperti Fandi dan beliau merupakan seorang yang sangat senang untuk bekerja.
“Beliau juga selalu menghubungi saya sebelum ini dan saya percaya kami semua mampu untuk melakukan sesuatu yang lebih cemerlang.
“Salah satunya adalah untuk cuba melayakkan diri ke Piala AFC dan kami semua teruja untuk memulakan saingan liga,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!