Op Tapis berkas 446 tokan dadah

Antara individu yang ditahan Operasi Tapis Khas Siri 1/2023 di seluruh negara pada 17 hingga 19 Januari lalu.
Antara individu yang ditahan Operasi Tapis Khas Siri 1/2023 di seluruh negara pada 17 hingga 19 Januari lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 446 tokan dadah ditahan menerusi Operasi Tapis Khas Siri 1/2023 di kawasan ladang di Felda, Felcra, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perkampungan nelayan di seluruh negara pada 17 hingga 19 Januari lalu.

Jenayah Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi kenyataan di Facebook rasminya berkata, operasi itu turut menahan 183 orang dikehendaki berkaitan jenayah narkotik.

"Seramai 4,420 individu telah diperiksa dan daripada jumlah itu 3,701 orang berusia 14 hingga 71 tahun ditangkap atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah," katanya pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, JSJN juga merampas 894 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah, 53.23 liter pelbagai jenis cecair dadah, 647.6 kg daun ketum dan 695.61 liter air ketum yang membawa nilai rampasan adalah sebanyak RM 4.64 juta.

Operasi ini turut menahan 183 orang dikehendaki berkaitan jenayah narkotik.
Operasi ini turut menahan 183 orang dikehendaki berkaitan jenayah narkotik.

"Menerusi operasi itu juga JSJN menahan tujuh lelaki dengan rampasan 840.7 kg ganja yang dianggarkan bernilai RM2.1 juta di Pulau Pinang dan Perak.

"Selain itu, JSJN turut menahan seorang lelaki dengan rampasan sejumlah 39.8 kg serbuk ekstasi yang dianggarkan bernilai RM1.9 juta di Sarawak," ujarnya.

Tambah kenyataan itu lagi, sebanyak empat laras senapang, sepucuk pistol, 57 peluru hidup dan sebilah pedang 'samurai' berjaya dirampas sepanjang operasi itu

"JSJN akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

"JSJN berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka ke Hotline JSJN di talian 012-208 7222," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!