Aliran trafik ke Pantai Timur meningkat, bergerak lancar
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Aliran trafik menghala ke Pantai Timur mula meningkat pada petang Jumaat, namun pergerakan kenderaan masih dalam keadaan lancar dan terkawal.
Lebuhraya Pantai Timur (LPT) memaklumkan setakat jam 4 petang Jumaat, trafik perlahan sepanjang 1.7 Kilometer (KM) dari KM 35.6 hingga KM 37.2 arah Timur (Genting Sempah) berikutan pertambahan kenderaan.
Pengendali lebuh raya itu bagaimanapun berkata, trafik lancar di sepanjang lebuh raya bagi kedua-dua hala.
Tinjauan Sinar Harian di Plaza Tol Gombak pada Jumaat menyaksikan anggota polis peronda, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berada di lokasi untuk mengawal lalu lintas di kawasan terbabit.
Terdapat juga anggota polis yang membuat pemeriksaan di laluan motosikal di plaza tol berkenaan.
Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad pada Khamis berkata, peningkatan trafik di Lebuhraya KLK dijangka meningkat sehingga 71 peratus kepada 171,000 kenderaan dalam tempoh itu berbanding hari biasa kira-kira 100,000 kenderaan.
Menurutnya, di LPT1, peningkatannya dijangka sehingga 62 peratus kepada 73,000 kenderaan berbanding sekitar 45,000 kenderaan menggunakan lebuh raya itu pada hari biasa.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pemantauan dijalankan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerusi Op Selamat 19/2023.
"Kadar aliran trafik ke Pantai Timur dijangka akan mula meningkat pada hari ini (Jumaat).
"BSPT IPD Gombak telah menjalankan pemantauan termasuklah rondaan di Plaza Tol Gombak bagi memastikan pergerakan aliran trafik lancar," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Zainal Mohamed berkata, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad mengenai kesesakan terutama pada musim perayaan dan cuti hujung minggu.
Katanya, hasil perbincangan tersebut, beberapa panduan khusus kepada pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak untuk melancarkan perjalanan antaranya ikuti jadual perjalanan yang disarankan bagi mengurangkan kadar kesesakan.
"Pengguna juga perlu memastikan fizikal dan mental dalam keadaan baik.
"Patuhi peraturan lalu lintas dan arahan petugas lebuh raya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!