Perkhidmatan Skypark Link dihentikan seketika mulai 15 Februari

Anthony Loke - Foto Bernama
Anthony Loke - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perkhidmatan Skypark Link dari Subang Jaya ke KL Sentral akan dihentikan buat sementara waktu bermula 15 Februari depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia berikutan kekurangan permintaan terhadap perkhidmatan tersebut dengan 80 orang sahaja menaikinya setiap hari.

Jelas beliau, kerajaan membelanjakan subsidi sebanyak RM15 juta di samping memberikan tiket murah kepada orang ramai, namun hasilnya masih kurang memuaskan.

"Kita akan kaji balik pelaksanaan semula perkhidmatan itu termasuk jika ada permintaan tinggi daripada Subang Skypark.

"Empat set tren yang terlibat dalam perkhidmatan Subang Skypark ketika ini akan dihantar ke tempat lain.

"Dua set tren ini akan dihantar ke utara manakala dua lagi di Lembah Klang bagi kegunaan komuter di sana, jadi akan ada tambahan perjalanan kerana lebihan tren di sana," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Edaran Pek Cenderahati Sempena Tahun Baharu Cina di KL Sentral, dekat sini.

Anthony menambah, peruntukan bagi Perkhidmatan Skypark Link akan dialihkan bagi memberi manfaat kepada pelajar sekolah rendah yang menggunakan perkhidmatan komuter di Pantai Timur meliputi perjalanan dari Kuala Geris ke Dabong di Kelantan.

"Setiap hari ada 150 pelajar sekolah rendah menggunakan perkhidmatan kereta api untuk ke sekolah.

"Jadi bermula 15 Februari ini, kita tidak akan kutip tambang daripada pelajar jika mereka memakai seragam sekolah untuk menaiki komuter.

"Sekarang mereka bayar RM2 iaitu RM1 untuk pergi dan balik, jika sebulan mereka boleh jimat sehingga RM40 hingga RM50, jadi kita bagi percuma," ujarnya.

Ujarnya, perkhidmatan percuma komuter itu turut diberikan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) di seluruh Malaysia.

"Jika mereka memiliki kad OKU, maka mereka akan diberikan laluan khas tanpa perlu membayar tiket komuter," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!