OPR: Tindakan BNM selaras keadaan ekonomi

Rakyat jelata perlu bijak urus kewangan untuk bendung inflasi

A
A
A

BNM berperanan untuk memastikan kadar inflasi negara berada di kedudukan yang tidak membebankan rakyat.
BNM berperanan untuk memastikan kadar inflasi negara berada di kedudukan yang tidak membebankan rakyat.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan bahawa kadar dasar semalaman (OPR) kekal 2.75 peratus pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari yang berlangsung baru-baru ini.

Walaubagaimanapun, pelarasan OPR akan terus dipertimbangkan lagi pada tahun ini. Sejak OPR diperkenalkan pada tahun 2004, BNM telah beberapa kali membuat pelarasan pada OPR sama ada dengan menaikkan atau menurunkannya mengikut keperluan ekonomi bagi mempengaruhi kadar kegiatan ekonomi dan inflasi.

Langkah urus inflasi

BNM bertindak menaikkan OPR sebanyak empat kali di 2022 bagi mendepani situasi inflasi, kerana inflasi boleh menyebabkan perubahan kuasa beli terhadap ringgit, khususnya dalam pasaran kewangan semasa, sekali gus menyebabkan kuasa pengguna atau pembeli menurun.

Permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan daripada orang ramai semakin meningkat selepas ekonomi dibuka semula dan seiring dengan itu, harga barangan turut meningkat dengan lebih cepat.

BNM menyelaraskan OPR mengikut keperluan ekonomi (sumber: BNM)
BNM menyelaraskan OPR mengikut keperluan ekonomi (sumber: BNM)

Bagi mengawal inflasi daripada terus naik mendadak, kenaikan OPR dilaksanakan kerana perbelanjaan yang 'kuat' perlu dikawal bagi mengurangkan tekanan inflasi.

Kenaikan OPR di 2022 juga menggambarkan kedudukan ekonomi negara semakin memulih dan memberi keyakinan kepada pelabur luar untuk terus melabur di Malaysia.

Walaupun terdapat langkah lain selain OPR yang boleh dilaksanakan bagi mengurus inflasi, OPR kekal sebagai alat dasar yang sangat penting dan berkesan untuk mengawal inflasi. Namun, pelarasaan OPR juga harus dilakukan seiring dengan pembaharuan struktur yang dapat menyokong kenaikan pendapatan untuk mengawal inflasi secara berkesan.

Sementara itu ahli ekonomi MIDF Research, Abdul Mu'izz Morhalim dilaporkan berkata, keputusan BNM untuk menaikkan kadar OPR sebelum ini adalah berdasarkan situasi semasa bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus kekal mampan dan inflasi dapat dikawal.

ABDUL MUI’ZZ
ABDUL MUI’ZZ



Tidak kurang juga yang mengatakan harga barang mentah semakin meningkat menyebabkan masyarakat, terutama mereka yang bekerja terpaksa mengeluarkan belanja lebih sekali ganda untuk makan di luar.

Namun apa yang orang ramai tidak sedar adalah kesan kepada ekonomi negara sekiranya kadar OPR tidak dinaikkan ke tahap sepatutnya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Firdaos Rosli pada Rabu dilaporkan berkata, OPR bakal menyaksikan kenaikan pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM pada Mac depan.

Di sebalik peningkatan tersebut, Firdaos turut mengingatkan kesan ketidakseimbangan pada tahap ekonomi makro sekiranya terus mengekalkan OPR pada tahap sedia ada ekoran aktiviti pengambilan risiko yang berlebihan.

Purata inflasi negara juga dijangka sederhana kepada tiga peratus tahun ini dengan andaian kerajaan akan mengekalkan polisi pemberian subsidi sedia ada.

FIRDAOS
FIRDAOS



Oleh yang demikian, sekiranya BNM mengekalkan kadar OPR yang rendah terlalu lama, tindakan itu akan merugikan rakyat ekoran inflasi bukan sahaja didorong oleh bekalan tetapi selaras dengan permintaan dalam negeri yang bertambah baik.

Jelasnya, sebagai contoh kadar OPR di Turkiye yang direndahkan semasa ekonominya menyelami inflasi telah menyebabkan inflasi di negara itu terus melonjak melebihi 80 peratus pada September lalu. Justeru, kita tidak mahu Malaysia mengalami keadaan yang serupa.

Memandangkan ekonomi Malaysia sedang dalam proses pemulihan, ramai penganalisis dan pakar ekonomi mula menjangkakan akan berlaku sedikit kenaikan OPR. Malah ia disuarakan beberapa minggu atau bulan sebelum pengumuman kenaikan dilakukan BNM.

Umumnya, peningkatan OPR akan memberi kesan kepada pemilik rumah dan perniagaan yang membuat pinjaman pada kadar apungan sahaja. Sebaliknya, kadar inflasi yang tinggi akan menjejaskan keseluruhan rakyat Malaysia, terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

Oleh itu, kadar OPR dinaikkan secara beransur-ansur supaya rakyat tidak terbeban, secara tidak langsung mereka boleh menyesuaikan diri dan tidak terkesan teruk sekiranya inflasi tinggi dalam masa terdekat.

Ada rahmat tersembunyi

Pengguna perlu bijak dengan belanja secara berhemah bagi menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.
Pengguna perlu bijak dengan belanja secara berhemah bagi menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.



Rakyat perlu sedar bahawa normalisasi OPR merupakan perkara tidak dapat dielakkan untuk memastikan pelaburan asing terus mengalir masuk pada kadar yang baik serta kadar pertukaran ringgit-dolar Amerika Syarikat (AS) dikekalkan dalam julat yang positif.

Walaupun pelarasan OPR akan menjejaskan peminjam bagi peminjaman kadar terapung, tetapi pada masa yang sama, faedah simpanan juga akan dilaraskan supaya penyimpan akan dapat kadar faedah Fixed Deposit yang lebih tinggi.

Oleh yang demikian, pelarasan OPR secara tidak langsung akan menggalakkan orang ramai untuk lebih berjimat-cermat dan menyimpan memandangkan kenaikan tersebut akan memberikan faedah kepada pendeposit tetap ekoran kenaikan pulangan.

Di samping itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk merancang kewangan bagi memanfaatkan lebih banyak peluang yang ada.

Sekiranya kedudukan kewangan di luar kawalan, peminjam boleh berbincang dengan bank atau mendapatkan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi membantu menyelaras semula kewangan anda.