UMNO perlu buat pengesahan usul dari aspek perlembagaan
ALOR SETAR - UMNO wajar membuat pengesahan sama ada usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada Perhimpunan Agung (PAU) 2022 adalah sah dari aspek perlembagaan parti itu.
Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, ia perlu bagi menutup ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli terhadap konflik yang tercetus apabila jawatan-jawatan lain dipertandingkan.
Menurutnya, ia juga bagi membolehkan keabsahan kedua-dua jawatan tertinggi dalam parti itu tidak diragui.
“Dari segi perundangan, adakah ia sah? Adakah dengan mengatakan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, adakah ia boleh laksanakan?
“Ini menjadi satu persoalan, kerana sekiranya tidak dipertandingkan kenapa jawatan-jawatan lain dipertandingkan? Menyebabkan wujud konflik di situ. Disebabkan itu kita memerlukan kepada pengesahan,” katanya pada Jumaat.
Menurutnya, sebelum mana-mana pihak mendakwa mereka berada di pihak yang benar, seeloknya keputusan berkenaan diputuskan oleh pihak berwajib, khususnya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
“Boleh ataupun tidak perkara (usul) itu dilaksanakan boleh dirujuk kepada RoS. Saya percaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga bersetuju untuk jawatan terbabit dipertandingkan. Ini kerana saya beranggapan Ahmad Zahid juga memerlukan suara akar umbi untuk beliau terus mengemudi UMNO.
“Supaya beliau mengetahui bahawa dirinya mempunyai mandat daripada akar umbi. Ini juga pencetus konflik, antara kemahuan Presiden yang sedia bertanding dengan kehendak usul yang dibawa oleh perwakilan,” ujarnya.
Begitupun beliau berkata, apa yang berlaku masih berbentuk demokrasi kerana sudah ada perbincangan dan suara akar umbi membuat pemilihan terhadap usul tersebut.
“Tetapi adakah ia perlu relevan? Jawapan saya tidak, suasana semasa memerlukan kepada keabsahan kedudukan Presiden dan Timbalan Presiden itu sendiri.
“Ia juga memberi impak pada masa akan datang bahawa akar umbi menganggap siapa sahaja yang berada di atas mungkin tidak akan bertukar. Ini menunjukkan kronologi negatif buat parti tersebut," ujarnya.
Bekas Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir (IPDM) itu menegaskan bahawa usul berkenaan sepatutnya tidak perlu diadakan langsung.
“Usul terbabit seolah-olah UMNO memerlukan kepada kestabilan. Siapa yang boleh membawa kepada kestabilan, ini yang harus difikirkan. Kalaulah akar umbi berasakan kepimpinan sekarang boleh memberi kestabilan, maka perlu ada pemilihan untuk menentukan akar umbi bersetuju dengan pimpinan sedia ada. Maka mereka inilah yang perlu terajui UMNO.
“Tetapi jika usul berkenaan dilaksanakan seolah-olah kita tidak dapat kata putus, siapakah yang sepatutnya memimpin UMNO? Ini persoalan yang akan terus bermain dalam minda ahli,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Zaharuddin turut membangkitkan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan keputusan pada PAU 2020 sebagai tidak demokrasi.
“Ramai mendakwa keputusan UMNO untuk tidak pertandingkan dua jawatan utama parti itu sebagai tindakan tidak demokrasi.
“Demokrasi memang berlaku di sini, apabila ada usul dibahaskan, bermakna suara parti, suara akar umbi sudah diperdengarkan. Akhirnya berlaku undian dan siapa yang bersetuju atau tidak bersetuju terhadap usul untuk tidak dipertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, ia adalah proses demokrasi itu sendiri,” katanya.
Menurutnya, adakah tidak rasional apabila sesetengah pihak yang menentang usul tersebut dan keputusan tidak memihak kepada mereka menyebabkan mereka beranggapan ia bukan proses demokrasi.
“Proses demokrasi telah berlaku. Sudah ada perbincangan dan penentuan berdasarkan kepada pungutan suara. Di manakah yang dikatakan bukan demokrasi?,” soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!