Kerajaan bincang pelan baharu ambil pekerja asing

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri bakal membincangkan berhubung Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing sempena lawatan kerja ke Nepal, Bangladesh dan Indonesia, hujung bulan ini.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, lawatan kerja yang dijadualkan pada penghujung bulan Januari, bakal membincangkan mengenai pelan bagi beberapa sektor kritikal di negara ini seperti perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.

“Saya akan berada di Nepal, Bangladesh dan Indonesia dalam empat hari pada penghujung bulan ini untuk sampaikan sendiri perkara ini kepada rakan sejawat saya di sana, terutamanya mengenai perubahan polisi.

“Diharapkan ia dapat membantu memudahkan lagi proses untuk majikan (di negara ini), yang berkehendakkan pekerja,” katanya pada Jumaat.

Saifuddin berkata demikian sempena lawatan kerja serta mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Menangani Kesesakan di Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, pada Jumaat.

Saifuddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan daripada Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berhubung seramai 500,000 pekerja asing akan dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja dalam sektor-sektor kritikal seperti perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.

Sementara itu Saifuddin berkata, pertemuannya dengan rakan sejawat di kesemua negara sumber (Nepal, Indonesia, Bangladesh) berkenaan akan menghasilkan satu keputusan yang positif.

Katanya, kesemua negara berkenaan juga diharap memberikan kerjasama yang sewajarnya berhubung perkara berkenaan.

“Diharapkan agar pemakluman ini akan membuatkan negara-negara sumberini (Nepal, Indonesia, Bangladesh) ini akan berikan kerjasama yang sewajarnya ke arah menjayakan perubahan ajakan polisi baharu ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!