Aliran trafik lebuh raya utama meningkat, pergerakan terkawal
KUALA LUMPUR - Aliran trafik di semua lebuh raya utama mula menunjukkan peningkatan namun berada dalam keadaan lancar dan terkawal pada petang Jumaat berikutan orang ramai dijangka memulakan perjalanan keluar dari Lembah Klang sempena tempoh cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, tiada kesesakan luar biasa dilaporkan berlaku di kesemua plaza tol di lebuh raya arah Pantai Timur setakat jam 4 petang tadi.
Ia melibatkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).
Menurutnya, keadaan aliran trafik itu dijangka berterusan sehingga tengah malam ini dengan jumlah kenderaan yang mula memasuki lebuh raya terbabit setakat ini adalah sebanyak 100,000 kenderaan.
"Kalau ikutkan jangkaan trafik dalam tempoh 24 jam untuk hari ini akan menjangkau 170,000 ke 180,000 kenderaan.
"Kita menjangkakan trafik akan berterusan seperti ini dengan mengambil kira sasaran jumlah kenderaan itu adalah seperti yang kita jangkaan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Tol Gombak, di sini pada Jumaat
Dalam pada itu, Radzimah turut menasihatkan pengguna supaya mengatur perjalanan mengikut cadangan waktu perjalanan dikeluarkan yang turut boleh didapati di kesemua platform media lebuh raya berkenaan.
"Kita tahu lebuh raya ini melibatkan perjalanan ke tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.
"Untuk setiap negeri ini masanya adalah berbeza-beza kerana kita tidak mahu ada pertembungan jumlah trafik di ketiga-tiga negeri terbabit," ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata, meskipun kerajaan memberikan kadar tol percuma di kesemua lebuh raya di dalam negara selama dua hari sehingga esok, pengguna dinasihatkan agar mempunyai baki kad yang mencukupi untuk mengelakkan berlaku kesulitan di plaza tol apabila tempoh pemberian tersebut tamat.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, tiada sebarang kesesakan luar biasa dilaporkan setakat petang Jumaat bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang ke arah Selatan dan Utara lebuh raya berkenaan.
Bagaimanapun menurutnya, terdapat beberapa kawasan di arah lebuh raya Selatan merekodkan aliran trafik perlahan antaranya di Seremban yang menyaksikan pergerakan perlahan sejauh sembilan kilometer (km) akibat kejadian kemalangan.
Di arah Utara pula, kawasan yang mengalami aliran trafik perlahan ialah di bagi perjalanan antara Tapah ke Gopeng, Slim River ke Bidor, Prai ke Jambatan Pulau Pinang dan di Juru.
Mohd Yusuf berkata, aliran trafik di lebuh raya tersebut dijangka bertambah sesak bermula selepas tamat waktu kerja pada petang Jumaat sehingga petang Sabtu iaitu tempoh ketika orang ramai khususnya masyarakat Cina dijangka memulakan persiapan sambutan perayaan.
"Selain itu, saya juga percaya ramai orang akan mengubah waktu perjalanan mereka untuk menikmati tol percuma dalam masa dua hari ini.
"Kita minta orang ramai merancang perjalanan dengan sebaiknya dan rujuk cadang waktu perjalanan dikeluarkan PLUS," ujarnya.
Sebanyak 3.8 juta kenderaan dijangka berada di atas lebuh raya di seluruh negara sepanjang cuti perayaan Tahun Baharu Cina bermula pada Ahad hujung minggu ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!