'Sepanjang hidup bermadu, tidak ada rasa cemburu'
SHAH ALAM - Datuk Nurulhidayah yang merupakan anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sepanjang hidup bermadu, tidak ada perasaan cemburu terhadap isteri pertama suaminya, Allahyarhamah Datin Bahazanariah Baharudin.
Pengarah Eksekutif Manara Rezeki Sdn Bhd itu berpandangan, ia merupakan rezeki yang diberikan oleh ALLAH SWT dan tidak semua orang merasa 'manisnya' bermadu.
"Persefahaman bersama memang tidak ada nak cemburu. Bila nak ambil gambar, dia nak peluk suami dia ke, suami nak peluk dia ke, saya nak peluk suami tidak ada (perasaan cemburu), alhamdulillah.
"Saya rasa itu rezeki. Tak semua orang rasa perkara itu. Itu yang manisnya," katanya ketika menjadi panel dalam Program Borak Bibir Merah bertajuk 'Manisnya Hidup Bermadu...' yang disiarkan di semua platform Sinarplus pada Jumaat.
Turut menjadi panel, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali dan ia dikendalikan oleh Fiza Saad.
Allahyarhamah Datin Bahazanariah sebelum ini dilapor meninggal dunia pada awal November 2020 selepas bertarung melawan kanser payudara tahap empat.
Jelas Nurulhidayah, perkara pahit baginya adalah melihat Allahyarhamah menahan kesakitan yang dialaminya.
"Saya jaga masa dia tengah kanser. Kami bersama-sama dalam wad dan tidur dalam satu wad. Saya dan suami menjaga saat-saat akhir dia nak pergi. Itu yang pahitnya kalau orang tanya," ujarnya.
Sementara itu, Nurulhidayah turut menceritakan pada asalnya beliau tidak menjangka berkahwin dengan suami orang.
Kata Nurulhidayah, sewaktu suaminya iaitu Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff menyatakan mahu berkahwin, beliau telah meminta untuk membawa Allahyarhamah berjumpanya.
Tambahnya, Allahyarhamah selepas itu meminta untuk beliau menjadi isteri kedua kepada Saiful Nizam.
"Dalam hati saya, saya pun tengok Kak Zana (Allahyarhamah) isteri yang alhamdulillah bertudung sempurna dan cakap pun lembut.
"Kalau dia jenis isteri pertama yang huru-hara, saya tak akan (berkahwin)," katanya sambil tersenyum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!