Anwar nikmati aiskrim gula apong bersama rakyat Sarawak

Anwar (dua dari kiri) dan Abang Johari Tun Openg (kanan) mencuba bakat membuat aiskrim gula apong ketika hadir pada Program Jelajah Kerajaan Perpaduan-Kenduri Rakyat di Kubah Ria pada Jumaat. - Foto Bernama
Anwar (dua dari kiri) dan Abang Johari Tun Openg (kanan) mencuba bakat membuat aiskrim gula apong ketika hadir pada Program Jelajah Kerajaan Perpaduan-Kenduri Rakyat di Kubah Ria pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A
KUCHING - Aiskrim Gula Apong menjadi antara hasil kulinari unik Sarawak dan hidangan menarik dalam majlis Kenduri Rakyat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kubah Ria di sini pada Jumaat.

Anwar, yang tiba bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menikmati aiskrim perisa tempatan itu bersama ribuan rakyat di pusat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbesar di Bumi Kenyalang usai solat Jumaat di Masjid Jamek.

Aiskrim Gula Apong merupakan campuran manisan dihasilkan daripada nira pokok nipah yang tumbuh liar di sepanjang tebingan sungai di Sarawak sesuai dijadikan sebagai sirap gula dan penambah rasa.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut berpeluang merasa sendiri juadah 'Pengilan' atau kenduri ala Sarawak selain makanan istimewa Bumi Kenyalang seperti dabai dan suntong tutok (sotong yang diketuk) dalam jamuan makan tengah hari.

Turut menemani beliau ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Selepas menghadiri program tersebut, Anwar melakukan kunjungan hormat ke atas Tun Abdul Taib Mahmud di kediaman Yang Dipertua Negeri Sarawak itu di Demak Jaya di sini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur petang ini.

Ini merupakan lawatan pertama Anwar ke Sarawak sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November lepas.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!