Terima lebih 12,000 penyertaan

Peraduan Syoknya 25 Tahun PTPTN bersama Sinar Harian dapat sambutan hangat

A
A
A

Ahmad Dusuki (dua dari kiri); Airol Fadley (kiri); Mastura (dua dari kanan) dan Farah bersama pemenang-pemenang peraduan.
Ahmad Dusuki (dua dari kiri); Airol Fadley (kiri); Mastura (dua dari kanan) dan Farah bersama pemenang-pemenang peraduan.

Peraduan Syoknya 25 Tahun PTPTN (Kategori Digital) berjaya mengumpulkan lebih 12,000 penyertaan daripada orang ramai sepanjang tempoh kempen tersebut berlangsung.

Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, sambutan yang diterima itu secara langsung menunjukkan bahawa masyarakat sentiasa memerhati dan memberi perhatian ke atas usaha yang dilakukan oleh PTPTN.

“Saya amat terkejut dengan sambutan yang sangat menggalakkan. Lebih daripada 12,000 penyertaan telah diterima dalam tempoh sebulan ketika kempen berlangsung.

AHMAD DASUKI
AHMAD DASUKI



“Kolaborasi bersama Sinar Harian ini sedikit sebanyak memberi impak positif kepada masyarakat berkenaan jasa dan sumbangan PTPTN serta perancangan kewangan yang baik. Kolaborasi bersama pihak media amat penting bagi memastikan hebahan yang tepat dan lebih meluas dapat disampaikan kepada masyarakat.

“Kita sebenarnya nak tekankan keperluan kepada masyarakat Malaysia supaya ada perancangan kewangan dan PTPTN adalah solusinya. PTPTN bukan sahaja berfungsi sebagai penyedia pinjaman pendidikan, tetapi juga turut berperanan sebagai tabung pendidikan utama negara untuk memupuk minda masyarakat agar memulakan penabungan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman.

Ahmad Dasuki ketika menghubungi pemenang tempat pertama.
Ahmad Dasuki ketika menghubungi pemenang tempat pertama.

“PTPTN mempunyai satu platform melalui Simpan SSPN untuk masyarakat Malaysia dan ibu bapa ke arah memulakan penabungan awal melalui perancangan kewangan untuk anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas Majlis Pengumuman Pemenang Peraduan Syoknya 25 Tahun PTPTN di Studio F Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Turut hadir dalam program tersebut adalah Penerbit yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Harian, Farah Hussamuddin dan Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid.

Farah (kanan) ketika menghubungi pemenang tempat kedua.
Farah (kanan) ketika menghubungi pemenang tempat kedua.



Pemenang tempat pertama memenangi (RM2,500 dan barangan eksklusif PTPTN), tempat kedua (RM1,500 dan barangan eksklusif PTPTN) manakala pemenang tempat ketiga (RM500 dan barangan eksklusif PTPTN).

Selain itu, seramai 22 pemenang saguhati menerima RM250 dan barangan eksklusif PTPTN.

Program anjuran bersama Sinar Harian itu bermula 1 Disember hingga 31 Disember 2022 dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM10,000 berbentuk akaun Simpan SSPN Prime.

Mastura (kanan) ketika menghubungi pemenang tempat ketiga.
Mastura (kanan) ketika menghubungi pemenang tempat ketiga.

Ujar Ahmad Dasuki, kolaborasi bersama Sinar Harian itu adalah langkah tepat dalam memupuk kesedaran orang ramai terhadap kepentingan PTPTN dengan lebih meluas.

“Bagi pihak PTPTN, kita memang menyambut baik kerjasama dengan Sinar Harian yang mana mempunyai pembaca mereka sendiri dan juga pengikut melalui platform digital.

“Ini akan dapat menyebarluaskan lagi maklumat berkenaan PTPTN dalam kalangan pengikut dan pembaca Sinar Harian, jadi saya rasa usaha ini patut diteruskan pada masa hadapan,” ujarnya.

Sambutan lebihi jangkaan

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin berkata, usaha dari segi promosi dan kempen untuk program berkenaan berjaya dilaksanakan serta mendapat sambutan yang melebihi jangkaan pihak mereka.

AIROL FADLEY
AIROL FADLEY



“Kita bukan sahaja gembira untuk PTPTN, kita juga gembira untuk Sinar Harian apabila masyarakat, pembaca, pendeposit Simpan SSPN serta pelanggan PTPTN sedar dengan sambutan dan kempen ini dan mereka memberikan sokongan.

“Dari segi digital, sambutan begitu menggalakkan. Kita menyasarkan 2,000 penyertaan tetapi telah menerima 12,000 penyertaan. Ini adalah satu kayu ukur baharu untuk segala kempen berteraskan kempen digital.

“Ini juga satu pencapaian kepada Sinar Harian dan PTPTN, sangat di luar jangkaan, sambutan yang diterima lebih 80 peratus daripada apa yang kita sasarkan,” ulasnya.

Mengulas mengenai strategi dalam memastikan Sinar Harian untuk terus kekal relevan, Airol Fadley berkata, platform tersebut perlu sentiasa bergerak dan berkembang selari dengan peredaran era teknologi dan digital masa kini.

“Dulu kita hanya ada Sinar Harian, sekarang pembaca kita semakin bijak dan meluas, untuk kekal relevan kita perlu suntikan gaya hidup dalam kandungan platform kita,” tambahnya.

REAKSI

NUR AQILAH
NUR AQILAH



Saya pernah menyertai beberapa peraduan yang lain tetapi belum pernah lagi dapat tempat pertama. Saya terkejut apabila diumumkan menang, macam tak percaya pun ada. Bukan saya seorang sahaja, ramai lagi yang sertai peraduan ini.” - Nur Aqilah Azizi, 20, Pemenang Pertama Peraduan Syoknya 25 Tahun PTPTN (Kategori Digital).

SYAMSIR
SYAMSIR



Soalan-soalan (peraduan) itu tidak terlalu susah, tetapi kalau ada jawapan yang saya waswas, saya akan rujuk dalam laman rasmi PTPTN. Semua maklumat itu ada dalam PTPTN, jadi ia membantu juga ketika menjawab.” - Syamsir Selamat, 45, Pemenang Kedua Peraduan Syoknya 25 Tahun PTPTN (Kategori Digital).

MUHAMAD FAHIM
MUHAMAD FAHIM



Simpanan ini penting sebab orang kata ia umpama kita dapat sediakan payung sebelum hujan, maksudnya kita menyimpan dari awal dan jika kita masuk universiti nanti kita dapat gunakan wang tersebut.” - Muhammad Fahim Mohamad Fuad, 16, Pemenang Ketiga Peraduan Syoknya 25 Tahun PTPTN (Kategori Digital).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!