Siapa pengganti Jacinda Ardern?

Dari kiri: Hipkins, Allan dan Wood yang dinamakan sebagai calon PM New Zealand. - Foto: Agensi
Dari kiri: Hipkins, Allan dan Wood yang dinamakan sebagai calon PM New Zealand. - Foto: Agensi
A
A
A

WELLINGTON - Keputusan meletak jawatan secara mengejut yang dibuat Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern telah mencetuskan tanda tanya tentang calon yang paling layak untuk menjadi pengganti beliau selepas pengundurannya pada 7 Februari depan.

Antara calon utama yang tersenarai ialah Menteri Pendidikan, Chris Hipkins, 44, yang pernah menggalas tugas sebagai Menteri untuk Covid-19 pada akhir 2020 selepas Grant Robertson yang merupakan timbalan Ardern menarik diri untuk bertanding.

Selain itu, nama lain yang disebut ialah Menteri Kehakiman, Kiri Allan, 39, yang berketurunan komuniti peribumi Maori dan Menteri Imigresen, Michael Wood, 42.

Parti pemerintah, Parti Buruh akan mengundi pada Ahad ini untuk menentukan siapa bakal menggalas tanggungjawab tersebut, namun calon yang dipilih memerlukan sokongan dua pertiga undi.

Siapa pun yang mengambil alih jawatan itu, beliau akan memimpin Parti Buruh menjelang Pilihan Raya Umum pada Oktober depan.

Individu tersebut bagaimanapun perlu menangani isu domestik yang telah menjejaskan populariti Ardern seperti harga rumah yang melambung tinggi dan inflasi.

Pada Jumaat, Ardern, 42, memberitahu beliau kekal berpendirian berkecuali ketika proses undian tersebut.

"Apa yang penting ialah kita memberi tumpuan terhadap proses itu dan beliau bakal memimpin semula negara dan memfokuskan isu penting untuk rakyat negara ini," ujarnya yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-40 New Zealand pada 2017. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!