Rakaman CCTV tak jelas, nampak macam bukan Zahir: Ibu

Kehilangan Mohd Zahiruddin dihebahkan melalui Nur Alert. Gambar kecil Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff
Kehilangan Mohd Zahiruddin dihebahkan melalui Nur Alert. Gambar kecil Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff
A
A
A

BANGI - "Paparan gambar yang saya tengok di kamera litar tertutup (CCTV) tadi tidak berapa jelas untuk menunjukkan itu adalah anak saya," kata ibu kanak-kanak berusia lapan tahun itu, Sainih Sunding, 46.

Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi yang berusia lapan tahun dilaporkan hilang sejak Isnin lalu.

Selang beberapa hari, kelibat Muhammad Zahiruddin Putra atau mesra disapa Zahir dalam kalangan keluarganya didakwa dilihat dalam rakaman CCTV sebuah pusat perubatan Islam di Bandar Baru Bangi, di sini.

Sainih berkata, dia pergi ke pusat perubatan tersebut kira-kira jam 10.30 pagi tadi untuk melihat sendiri rakaman CCTV terbabit.

"Tapi, rakaman itu tidak berapa jelas dan sukar untuk saya sahkan seorang kanak-kanak yang dirakam di dalam video itu adalah anak bongsunya (Zahir).

ARTIKEL BERKAITAN: Polis luaskan kawasan pencarian Zahiruddin

“Berdasarkan rakaman itu, kanak-kanak itu nampak macam berisi sedikit jika dibandingkan dengan Zahir, warna baju yang dipakai juga tidak sama," katanya ketika ditemui di pusat perubatan tersebut, hari ini.

Tambahnya, dia tetap berharap agar Zahir pulang dengan selamat ke pangkuan keluarga.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Sainih berkata, buat masa ini, dia masih belum menerima sebarang perkembangan daripada pihak polis berhubung kehilangan anaknya itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi, Rosman Majid berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak berkenaan di sekitar Sungai Semenyih, pagi ini, dihentikan.

“Buat masa ini, operasi itu dihentikan berdasarkan petunjuk baharu yang diperoleh polis mengenai lokasi mangsa. Tapi, kami sentiasa bersedia untuk memberi bantuan sekiranya diperlukan dalam usaha mengesan kanak-kanak terbabit,” katanya.

Difahamkan, Zahir kali terakhir dilihat kira-kira pada jam 6.30 petang Isnin, sebelum ibunya menyedari kehilangannya kira-kira pada jam 7.15 malam selepas dia tidak pulang ke rumah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!