'Laporan beban tugas guru sebelum pertengahan Februari'

Fadhlina bersama Amin dalam pertemuan pada Jumaat.
Fadhlina bersama Amin dalam pertemuan pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengarahkan agar laporan berhubung beban tugas dan kebajikan guru daripada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan 2023-2025 (MPPK) dikemukakan kepadanya sebelum pertengahan Februari depan.

Menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat, Fadhlina berkata, tindakan itu merupakan arahan sulungnya kepada MPPK.

"Saya mahu laporan tersebut di atas meja sebelum pertengahan bulan hadapan," jelasnya.

Beliau berkata, satu pertemuan dengan Pengerusi MPPK yang baharu dilantik, Datuk Dr Amin Senin diadakan bagi membincangkan beberapa perkara berbangkit berkaitan dengan isu pendidikan negara.

"Pemilihan Amin yang juga mantan Ketua Pengarah Pendidikan adalah penting bagi memastikan nasihat yang dikemukakan pasukan ini kelak selari dengan dasar-dasar pendidikan kebangsaan, selain memahami dengan mendalam selok-belok, kerumitan serta kompleksiti kementerian terbesar di Malaysia ini," ujarnya.

Mengenai dua ahli MPPK bukan Melayu yang dilantik, Fadhlina menjelaskan kriteria pemilihan kesemua ahli bukan berasaskan faktor bangsa namun sebaliknya atas dasar profesionalisme dan kepakaran tokoh terbabit yang diperlukan ketika ini.

"Ahli majlis MPPK yang telah diumumkan akan mewujudkan jawatankuasa melibatkan setiap komposisi kaum, masyarakat Orang Asli, golongan rentan seperti orang kurang upaya (OKU), pemegang taruh pendidikan dan juga wakil pemimpin pelajar," katanya.

Beliau berkata, KPM mengalu-alukan setiap maklum balas dari wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti yang ingin memberikan cadangan penambahbaikan pendidikan terutamanya terkait dengan murid, guru serta sekolah.

"Kami juga telah mengaturkan ruang konsultasi dengan kumpulan yang memperjuangkan kebajikan semua pemegang taruh.

"Saya dan Timbalan Menteri juga akan bekerjasama erat dengan agensi-agensi yang membawa suara setiap masyarakat daripada pelbagai kaum agar isu pendidikan negara dapat diangkat pada tahap optimum," katanya sambil mengucapkan selamat bertugas kepada ahli MPPK.

Sebelum itu, Timbalan Pengerusi DAP, P Ramasamy membangkitkan persoalan sama ada bilangan dua anggota bukan Melayu iaitu Datuk Dr Mehander Singh Nahar Singh dan Chee Poh Kiem di dalam MPPK mencukupi untuk bercakap mengenai sistem pendidikan vernakular.

Fadhlina pada Khamis mengumumkan sembilan tokoh dilantik menganggotai MPPK.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!