Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah kembali serlahkan aura juara
DUA gandingan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah kembali menyerlahkan aura juara apabila menyambar slot separuh akhir Terbuka India di Dewan Tertutup KD Jadhav, New Delhi pada Jumaat.
Tampil dengan reputasi juara dunia, Aaron-Wooi Yik tidak berdepan masalah untuk menjinakkan satu lagi beregu negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-17, 21-11 dalam masa 31 minit.
Kemenangan itu menyaksikan gandingan pilihan ketiga kejohanan akan berdepan pemenang di antara pasangan nombor satu dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia atau wakil Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel.
Sementara itu, Pearly-Thinaah juga tidak berdepan masalah mara ke separuh akhir apabila mencatat kemenangan mudah ke atas gandingan dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi.
Pilihan kelapan itu mengambil masa 44 minit untuk menang 21-13, 21-13 bagi berdepan pemenang di antara pasangan dari Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard dan gandingan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!