Malaysia Madani penuhi tuntutan negara, rakyat
SHAH ALAM - Kerangka Malaysia Madani yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis dilihat sebagai lonjakan baharu Malaysia menjawab keresahan rakyat dalam menghadapi cabaran akan datang.
Pengkaji Dasar Awam Malaysia, Profesor Dr Durrishah Idrus berkata, Malaysia Madani yang turut memberi tumpuan kepada golongan miskin seperti kumpulan M40 yang dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menjadi B40 adalah tepat pada masanya kerana cabaran kini benar-benar menggusarkan mereka.
“Rakyat percaya dasar yang dibawa oleh kerajaan itu akan membawa banyak kebaikan dan keadilan kepada mereka terutama golongan yang sangat memerlukan, ia akan mendapat sambutan dan sokongan,” katanya dalam rancangan Malaysia Petang Ini di Bernama pada Khamis.
Durrishah berkata, definisi kemiskinan juga perlu dilihat daripada pelbagai dimensi seperti yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri kerana ramai pengkaji mengusulkan bahawa kadar kemiskinan itu tidak boleh dilihat daripada angka-angka sahaja.
“Hal ini kerana sekiranya definisi ini dilihat melalui angka, mungkin bagus tapi data itu tidak membawa makna kepada golongan rakyat kerana tidak dirasai oleh mereka.
“Apa yang penting, adakah perkara ini (definisi kemiskinan) dapat memenuhi keperluan makanan dan kemudahan asas mereka di atas meja” katanya.
Menurut Durrishah, Malaysia Madani yang diharapkan Perdana Menteri adalah membawa kepuasan optimum kepada rakyat dan akan mengharumkan nama Malaysia serta mengembalikan kepercayaan antarabangsa terhadap negara ini.
Beliau bagaimanapun berkata, mungkin ada beberapa pihak seperti golongan konglomerat atau perniagaan besar yang merasakan Malaysia Madani ini akan menyekat atau mengganggu mereka.
“Walaupun konsep ini memberi tumpuan lebih kepada rakyat yang memerlukan namun saya tidak merasakan perkara ini akan menghalang konglomerat atau perniagaan besar,” ujar beliau.
Katanya, bagi memastikan konsep Madani terlaksana, satu pemeriksaan berkala perlu dijalankan supaya pelaksanaannya sentiasa dalam keadaan baik.
“Oleh itu, perlu dipastikan pelaksanaan itu berlaku dan disemak sama ada bagus dan memenuhi (objektif) seperti diharapkan, (semakan) bukan tiga atau lima tahun sekali namun perlu dalam setahun atau enam bulan sekali kerana masa itu pantas sehingga banyak perkara juga berlaku dengan cepat,” kata Durrishah.
Sementara itu, penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr Azmi Hassan berkata, penggubal dasar negara perlu jelas dengan apa yang ingin dihasratkan oleh Perdana Menteri dalam menggagaskan Madani supaya matlamatnya sampai kepada rakyat.
“Jabatan Perangkaan misalnya boleh membuat suatu yang boleh menilai keadaan sebenar dialami oleh rakyat dan bukan hanya dirasai oleh negara sahaja yang diterjemahkan melalui angka atau data.
“Sama seperti KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) pada tahun lepas iaitu kira-kira enam peratus berlaku pertumbuhan ekonomi tapi rakyat tidak merasai juga.
“Sepatutnya apabila KNDK negara meningkat bermaksud pendapatan kerajaan bertambah dan akan memberi manfaat kepada rakyat,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, konsep Madani itu mungkin boleh dinilai dalam masa 100 hari yang semakin hampir selepas Perdana Menteri mengambil alih pentadbiran negara berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Oleh itu, bagi menjayakan konsep ini, Perdana Menteri perlu pantas dalam memastikan menteri-menteri di bawahnya menerapkan atau menggunakan konsep ini dalam mentadbir kementerian masing-masing,” tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!