Dijerat kekasih alam maya

Bukit Aman turut merampas pelbagai barangan termasuk wang tunai. Mangsa melakukan semakan dan mendapati nombor panggilan yang diterima adalah daripada sindiket penipuan. Gambar kecil: Ahmad Noordin
Bukit Aman turut merampas pelbagai barangan termasuk wang tunai. Mangsa melakukan semakan dan mendapati nombor panggilan yang diterima adalah daripada sindiket penipuan. Gambar kecil: Ahmad Noordin
A
A
A

SHAH ALAM - Memancing cinta menggunakan kata-kata romantis dan janji palsu untuk memperdaya mangsa merupakan taktik licik penipuan Love Scam yang digunakan untuk menjerat mangsa dalam kesepian dan ingin mencari pasangan.

Modus operandi sindiket adalah menghantar mesej secara rawak melalui laman sosial seperti Facebook, Twitter selain emel untuk menjerat mangsa. Ia menggunakan profil akaun palsu dan menyamar sebagai lelaki atau wanita untuk memujuk dan meyakinkan mangsa.

Sindiket akan mula bertindak apabila mangsa memberi respons kepada mesej yang dihantar hingga terjerat dengan ‘layanan’ cinta suspek.

Banyak kes yang berlaku hingga menyebabkan mangsa tidak percaya dirinya telah dijerat penjenayah.

Mendedahkan lanjut kes terbabit, Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, terdapat kes di mana seorang wanita tidak mahu menerima hakikat bahawa ‘kekasih’ dicintai itu merupakan ahli sindiket penipuan.

“Awalnya, mangsa berusia 50-an tidak percaya dirinya menjadi mangsa sindiket penipuan Love Scam kerana terpedaya dengan janji manis ‘kekasih’ alam maya.

"Wanita ini juga percaya gambar jejaka kacak yang dikenali dalam media sosial adalah kekasihnya.

“Tetapi sebaliknya siasatan lanjut mendapati suspek merupakan seorang individu disyaki dari Afrika cuba memperdayakan mangsa,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Menyamar

Tambah beliau, sindiket penipuan Love Scam akan menyamar sebagai individu profesional seperti juruterbang, jurutera, doktor, akauntan dan profesor.

Kata Ahmad Noordin, terdapat kes penipuan yang berlaku di Jepun pada tahun lalu yang menarik.

“Kes ini membabitkan penyamaran suspek sebagai seorang angkasawan sehingga menyebabkan seorang wanita mengalami kerugian AS$30,000 dolar (4.4 juta yen atau RM140,160).

“Wanita berusia 65 tahun itu mengenali seorang lelaki di Instagram yang mendakwa bekerja sebagai angkasawan di Stesen Angkasa Antarabangsa,” ujarnya.

Beliau berkata, media di negara berkenaan melaporkan angkasawan itu memberitahu bahawa dia mencintai dan melamar serta akan mengahwini wanita itu apabila pulang ke bumi.

Menurut beliau, ‘angkasawan’ itu kemudian meminta wang daripada wanita berkenaan kononnya sebagai ‘yuran pendaratan’ dan perbelanjaan roket untuk kembali ke bumi.

“Mangsa telah melakukan lima transaksi kepada suspek antara Ogos dan September lalu berjumlah kira-kira AS$30,000, suspek terus meminta wang sehingga wanita itu menyedari dia terpedaya dan membuat laporan polis,” katanya.

Ahmad Noordin yang merupakan bekas Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Jenayah Siber dan Multimedia) Bukit Aman menjelaskan, modus operandi yang sering kali digunakan sindiket penipuan itu adalah menggunakan bahasa lembut dan menabur janji kononnya akan menjadikan mangsa sebagai teman hidup dengan cara membangkitkan perasaan simpati.

“Mangsa kebanyakannya adalah mereka yang berusia serta bersendirian dan mahu teman berbicara akan mudah terpedaya dengan taktik sindiket penipuan Love Scam,” katanya.

Rakyat Malaysia pemurah

Mengulas mengenai kes yang berlaku di Malaysia, beliau berkata, sindiket mengambil peluang di atas sikap rakyat Malaysia yang pemurah dan baik hati serta sanggup memberi pertolongan.

“Sindiket penipuan Love Scam sentiasa mengambil peluang untuk menyasarkan individu yang mempunyai sikap pemurah dan baik hati sebagai mangsa.

“Kita boleh berkawan di alam maya, namun apabila individu yang tidak dikenali itu berbicara mengenai wang, itu tandanya dia sedang memasang jerat, kalau tidak berhenti nescaya akan jadi mangsa sindiket penipuan,” tegas beliau.

Tambahnya, sindiket penipuan itu turut menggunakan pelbagai talian telekomunikasi untuk berhubung serta memperdayakan mangsa.

“Ada sindiket penipuan Love Scam yang menggunakan nombor talian Malaysia, tetapi mereka beroperasi di luar negara.

“Ada juga sindiket menggunakan nombor telekomunikasi luar negara serta menggunakan teknik spoofing, namun teknik itu banyak didapati dalam kes Macau Scam,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Noordin berkata, MCCA yang ditubuhkan sejak 2018 itu berperanan sebagai perantara pengguna siber dengan pihak berkuasa.

“MCCA mahu mewujudkan suasana di mana pengguna lebih celik akal mengenai dunia siber.

“Kita juga membuat saranan kepada pihak kerajaan bagi keselamatan siber dan membantu menjaga kedaulatan negara dalam dunia siber,” ujarnya.

Ahmad Noordin berkata, masyarakat boleh mengambil contoh di mana mangsa telah berjaya memutuskan hubungan dengan sindiket penipuan Love Scam apabila mereka mula meminta wang.

“Mencari kawan baharu melalui media sosial tidak salah, namun kita perlu sentiasa berwaspada terhadap kawan yang kita tidak pernah jumpa itu.

“Setelah hubungan semakin akrab, ‘kawan baharu’ ini sanggup berkongsi masalah untuk meraih simpati, kita perlu hati-hati tanda atau kemungkinan besar dia adalah scammer,” katanya.

Meor kongsi pengalaman nyaris jadi mangsa 'love scam'

Sementara itu, seorang pekerja swasta berkongsi kisah nyaris menjadi mangsa penipuan sindiket 'Love Scam' pada tahun lalu.

Lelaki yang dikenali sebagai Meor, 45, itu mendakwa, dia mengenali seorang wanita melalui laman sosial pada November lalu.

"Hubungan kami semakin rapat apabila dia yang mendakwa berasal dari Sarawak kerap berhubung menerusi WhatsApp bernombor talian asing.

"Wanita yang juga mendakwa bekerja sebagai akauntan di United Kingdom itu turut berkongsi kisah sedih dengan memaklumkan ibu bapanya telah meninggal dunia, dia cuba meyakinkan saya dengan cara bersikap terus terang," katanya.

Meor berkata, wanita itu kemudian mendakwa dirinya dalam proses perceraian selain meraih simpati dengan mendakwa dia sedang trauma dan menderita kerana didera oleh suaminya sejak lima tahun lalu.

Katanya, wanita terbabit menceritakan dirinya sering kali dipukul apabila menegur sikap suaminya yang tidak bekerja, suka berjudi, menipu dan mencuri.

Ceritanya lagi, wanita itu turut memberitahu dia merupakan anak tunggal dan mewarisi harta dan insurans hayat bapanya serta memaklumkan suaminya telah menuntut sebanyak 50 peratus daripada nilai harta tersebut termasuk rumah mereka.

Bagi terus memperdaya dirinya, wanita terbabit meraih simpati dengan mengadu tidak dapat melarikan diri ke luar negara kerana terpaksa menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga proses perceraian itu selesai.

"Dia (suspek) konon merancang untuk berpindah ke negara lain selepas bercerai supaya dapat memulakan hidup baharu.

"Wanita itu kemudian meminta bantuannya untuk 'memindahkan' sejumlah hartanya untuk melabur di Malaysia dan mahu memberikan sebanyak 10 peratus daripada nilai harta tersebut sebagai komisen.

"Dia telah meminta butiran peribadi seperti nama, nombor telefon, e-mel, alamat pejabat atau rumah untuk proses penghantaran harta itu," ujarnya.

Kata Meor, wanita itu memaklumkan harta tersebut akan dihantar dalam bentuk wang tunai sebanyak dolar AS$500,000 (RM2.1 juta) sebelum menunjukkan gambar yang memaparkan wang itu yang telah diisi di dalam beg, sebelum dihantar ke Malaysia.

Menurutnya, wanita berkenaan turut meminta supaya menderma sebanyak lima peratus daripada wang tersebut kepada anak yatim piatu.

"Dia juga berpesan kepada saya agar merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan orang lain," katanya.

Meor berkata, wanita itu memaklumkan bahawa dia telah membuat pembayaran caj sebanyak 15,000 pound di United Kingdom untuk proses penghantaran bungkusan wang itu.

"Dia kemudian memaksa saya membayar RM2,950 kepada sebuah syarikat bagi melepaskan bungkusan kiriman itu daripada ditahan pihak kastam di Malaysia," katanya.

Meor berkata, dia kemudian menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.

"Saya tidak menjawab panggilan telefon itu setelah melakukan semakan serta berasa curiga dan menyedari taktik licik sindiket tersebut.

"Sindiket penipuan termasuk wanita itu kemudian telah menyekat nombor telefon mereka apabila gagal memperdayakan saya," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!