Nafuzi tabik penyokong Kedah, aura Darul Aman
KEHADIRAN lebih 16,000 penyokong Kedah Darul Aman pada aksi persahabatan pra musim 2023 menentang Kelantan FC di Stadium Darul Aman, pada malam Jumaat mendapat pujian pengendali Sang Kenari, Nafuzi Zain.
Biarpun hanya aksi persahabatan untuk menguji keserasian pemain namun kehadiran penyokong yang ramai berjaya menyuntik semangat pasukan dan dua jaringan import dari Brazil, Willian Lira Sousa membantu KDA FC menang 2-0.
"Malam ini saya berterima kasih kepada penyokong dan betul-betul terharu dengan sokongan sebab ini perlawanan persahabatan, lebih 16,000 penyokong yang hadir walaupun hujan.
"Kami rasakan seperti suasana perlawanan yang sebenar, mungkin juga ada pemain baru yang gugup melihat situasi pada malam ini," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan persahabatan pada malam Jumaat.
Menurut Nafuzi, masa masih diperlukan oleh pasukan kejurulatihan untuk membentuk keserasian di kalangan pemain terutamanya pemain muda.
Jelasnya, semua pemain perlu bersedia untuk diturunkan terutamanya perlawanan yang membabitkan intensiti yang tinggi.
“Dah 10 hari kita baru bersama dan menjalani latihan. Secara keseluruhan saya berpuas hati aksi dipamerkan pemain Kedah. Pemain cuba bagi yang terbaik aksi semalam tapi mungkin banyak faktor yang harus diperhatikan," ujar beliau.
Mengulas mengenai prestasi Sousa yang telah menjaringkan tiga gol dalam dua aksi persahabatan pramusim 2023, Nafuzi menyifatkanya sebagai perkara positif.
"Tugas penyerang ini untuk menjaringkan gol dan malam ini dia (Willian) dapat skor gol. Pada saya satu perkara positif (kemajuan pasukan),” kata beliau lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!