Op Limau: Polis tahan 120 individu, rampas RM90,481
KUALA LUMPUR - Seramai 120 orang termasuk lima wanita ditahan dan wang tunai berjumlah RM92,481 dirampas menerusi Op Limau sempena Tahun Baharu Cina pada 15 Januari hingga 19 Januari lalu.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, fokus utama operasi adalah untuk membanteras aktiviti perjudian dalam bangunan dan tempat terbuka tertakluk di dalam Jadual Pertama dan Kedua di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
"Kesemua individu yang ditahan itu disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka1953 (judi dalam bangunan) dan Seksyen 7 (2) akta sama (judi luar bangunan)," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Noorsiah berkata, PDRM akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang menganjur dan menjalankan pertaruhan, berlandaskan undang-undang sedia ada dalam usaha menangani aktiviti perjudian.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian, boleh menyalurkan maklumat tersebut melalui hotline WhatsApp Op Limau di talian 016-5773477," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!