Macau Scam: Penolong pegawai, suri rumah rugi lebih RM380,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Dua individu berputih mata apabila wang simpanan mereka berjumlah RM380,190 miliknya lesap selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam.

Mangsa pertama adalah penolong pegawai pertanian berusia 45 tahun, manakala seorang lagi merupakan suri rumah berumur 37 tahun.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa pertama menetap di Maran dikatakan menerima panggilan daripada pegawai insurans yang mendakwa dirinya telah membuat insurans palsu pada November tahun lalu.

Menurutnya, mangsa diminta membuat laporan polis, sebelum panggilan itu disambungkan kepada individu yang kononnya menyamar sebagai pegawai polis.

"Selepas itu, suspek memaklumkan mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan kesalahan rasuah serta diminta membayar dana ikat jamin sebanyak RM400,000 untuk menyelesaikan kes.

"Dengan perasaan takut, mangsa telah dedahkan kesemua maklumat perbankan akaunnya sehingga dapati wang simpanan RM215,100 berkurang melalui 33 transaksi pemindahan ke akaun bank yang lain yang belum dikenal pasti," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam kejadian kedua, Ramli berkata, seorang wanita yang menetap di Temerloh telah menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pekerja syarikat penghantaran pada 13 Januari lalu.

Menurutnya, suspek mendakwa mangsa menerima barangan terlarang seperti kad sim, kad pengeluaran wang automatik (ATM), buku cek token bank dan pemacu pena atau pendrive yang dihantar kepada seorang penerima.

Tambah beliau, panggilan mangsa disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan dimaklumkan bahawa maklumat peribadi pengadu diguna oleh seorang lelaki untuk membuka akaun bank.

"Lelaki terbabit memberitahu kepada pihak polis bahawa mangsa memberi kebenaran menggunakan akaun bank miliknya untuk pengubahan wang haram.

"Kemudian suspek memberikan satu capaian kepada mangsa untuk mengisi maklumat perbankan, selain meminta mangsa pindahkan semua wang dari simpanan Tabung Haji ke akaun bank yang dibuka atas arahan suspek," kata beliau.

Ramli berlata, pada 17 Januari lalu mangsa dapati wang simpanan RM165,090 dipindahkan melalui lapan kali transaksi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan supaya segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan.

Tegasnya, ini bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

"Sekiranya diminta untuk memberikan apa-apa maklumat perbankan, jangan dedahkan apa apa maklumat.

"Pihak polis agak terkilan kerana kempen kesedaran diadakan secara berterusan, masih ada yang menjadi mangsa sehingga ratusan ribu ringgit," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!