Tiga lelaki dipercayai anggota militan maut berbalas tembakan
NARATHIWAT - Tiga lelaki dipercayai anggota militan maut dalam insiden berbalas tembakan di Narathiwat pada Jumaat.
Dalam insiden kira-kira jam 9 pagi (waktu tempatan) pada Jumaat, Ketua Polis Siasatan Wilayah Narathiwat, Kolonel Polis Direk Shomyon berkata, pasukan keselamatan mengepung beberapa buah khemah yang dipercayai tempat bersembunyi sekumpulan anggota militan di kawasan pergunungan di daerah Si Sakhon.
“Ketibaan pasukan keselamatan disedari kumpulan itu dan mereka terus melepaskan tembakan (ke arah pasukan keselamatan).
“Insiden berbalas tembakan berlarutan hampir sejam. Apabila keadaan reda, pasukan keselamatan menemukan tiga mayat di tempat kejadian manakala yang lain telah meloloskan diri,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, pasukan keselamatan turut merampas senjata dan alat-alat perkhemahan milik kumpulan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!