Maqis rampas 25,000 kg kubis Cina dari Singapura
JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor merampas 2,500 kilogram (kg) kubis Cina dari Singapura yang dianggarkan bernilai RM6,600 selepas menahan sebuah lori kargo di Bangunan Sultan Iskandar di sini pada Khamis lalu.
Pengarah Maqis Johor, Edi Putra Md Yusoff berkata, pihaknya turut menahan pemandu lori berusia 40 tahun yang merupakan warga tempatan untuk siasatan lanjut.
Bagaimanapun katanya, pemandu berkenaan dibebaskan setelah mengambil kenyataan.
“Hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan oleh pegawai Maqis didapati pihak pengimport memberikan maklumat yang tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan.
“Kesalahan yang dilakukan adalah di mana label pada kotak tidak sama dengan dokumen yang diberikan semasa pengisytiharan kepada Maqis," katanya menerusi satu kenyataan media pada Sabtu.
Edi Putra berkata, kes ini akan disabitkan di bawah Seksyen 13 Akta Maqis 2011, jika disabitkan kesalahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
"Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM75,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahu atau kedua-duanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!