KDEBWM sedia beri kerjasama, tak kompromi pemandu cuai
SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) mengesahkan sebuah lori sampah milik subkontraktor syarikat itu terlibat kemalangan di Kota Warisan, Sepang pada Jumaat.
Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, kejadian telah dilaporkan kepada Balai Polis Sepang dan kes sedang dalam siasatan.
"KDEBWM akan memberikan kerjasama kepada pihak IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Sepang berhubung kejadian ini.
"Bagaimanapun kami akan mendapatkan maklumat lanjut termasuk memberikan bantuan kepada mangsa kejadian," katanya menerusi kenyataan.
Pada petang Jumaat, berlaku kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah lori kompaktor di Jalan Baru Dengkil-Kota Warisan di sini.
Dua individu dipercayai pemandu dua kenderaan yang terlibat dalam kejadian tersebut mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
Beliau berkata, pihaknya memberi jaminan akan bekerjasama penuh dengan polis dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati cuai sehingga menyebabkan kemalangan tersebut.
"KDEBWM dengan rendah diri memohon maaf kepada semua mangsa yang terlibat dan menzahirkan rasa amat kesal dan dukacita dengan kejadian malang ini.
"Kami juga akan membantu memudahcara urusan tuntutan insurans berkaitan untuk mangsa-mangsa yang terlibat," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!