Ancaman bom: Pesawat Azur Air Rusia terpaksa dilencongkan
NEW DELHI - Pesawat syarikat penerbangan Rusia, Azur Air yang dalam perjalanan menuju ke Goa, India terpaksa dilencongkan ke Uzbekistan berikutan ancaman bom, lapor Sputnik yang memetik Agensi Berita India ANI pada Sabtu.
Penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Perm Rusia itu dijadualkan mendarat di Goa pada 4.15 pagi waktu tempatan pada Sabtu (22:45 GMT pada Jumaat), kata seorang pegawai polis India.
"(Penerbangan) dilencongkan selepas ketua Lapangan Terbang Dabolim (lapangan terbang Goa) menerima e-mel mengenai bom di atas pesawat berkenaan," menurut pegawai polis itu.
Pesawat berkenaan membawa 238 penumpang termasuk dua bayi dan tujuh anak kapal.
Isnin lalu, sebuah pesawat Azur Air dari Moscow ke Goa juga terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Jamnagar di Gujerat, India untuk pemeriksaan keselamatan selepas menerima ancaman bom.
Selepas pemeriksaan menyeluruh, pihak berkuasa India tidak menemukan sebarang peranti yang mencurigakan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!