Tidak timbul isu pencemaran Tasik Puteri - Ahmad Said

Hanya aktiviti sukan seperti kayak atau berperahu dibenarkan di Tasik Puteri, Bukit Besi.
Hanya aktiviti sukan seperti kayak atau berperahu dibenarkan di Tasik Puteri, Bukit Besi.
A
A
A

DUNGUN - Tidak timbul isu pencemaran di Tasik Puteri, Bukit Besi, kerana lokasi tersebut sememangnya tidak sesuai dan dilarang untuk aktiviti mandi-manda atau selaman.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Seri Ahmad Said berkata, tasik yang berkeluasan 131 hektar itu adalah bekas lombong bijih besi dengan kandungan sulfur yang tinggi.

Justeru, hanya aktiviti sukan seperti kayak atau berperahu dibenarkan di kawasan berkenaan walaupun airnya kelihatan sangat jernih dan bebas daripada pencemaran.

"Dari dulu lagi tasik tu memang orang tak mandi. Tak ada penduduk tempatan yang mandi di situ kerana mereka tahu kawasan tu bekas lombong...kandungan sulfur tinggi. Ikan pun tak hidup di situ.

"Kita pun tak benarkan sebarang aktiviti mandi-manda atau selaman di situ. Kalau orang luar datang dan buat aktiviti selaman...atas risiko mereka sendirilah," katanya selepas mengagihkan sumbangan air minum kepada 500 penduduk Ketengah Jaya yang terjejas akibat terputus bekalan air.

Ahmad berkata, dakwaan bahawa pencemaran air tasik itu turut menjejaskan kualiti air terjun di kawasan berdekatan adalah tidak benar kerana kedua-duanya daripada punca atau sumber air yang berbeza.

Sebuah akhbar tempatan pada Sabtu melaporkan Tasik Bukit Besi yang dikenali sebagai Tasik Puteri didakwa tercemar dengan bahan asid apabila air daripada kolam tadahan di tapak perlombongan bijih besi mengalir memasuki tasik tersebut.

Ia didakwa bukan sahaja menjejaskan kualiti air terjun di kawasan berhampiran, malah menjejaskan sektor pelancongan kerana sudah tidak sesuai untuk aktiviti mandi-manda dan selaman. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!