KPDN tubuh pasukan khas tangani masalah Touch ‘n Go

Salahuddin - Foto Bernama
Salahuddin - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal menubuhkan pasukan khas (task force), dalam usaha menangani beberapa permasalahan berkaitan sistem pembayaran baharu visa Touch ‘n Go.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pasukan khas itu yang akan diketuai sendiri oleh Ketua Setiausaha kementeriannya akan meneliti, seterusnya menyelesaikan permasalahan berkenaan dalam masa terdekat.

"Semalam (Jumaat), saya telah meminta pihak pengurusan Touch ‘n Go untuk tampil menjawab beberapa persoalan di kementerian susulan rungutan orang ramai yang banyak sampai kepada saya sendiri.

“Aduan tertinggi yang kita terima adalah dalam tempoh minggu perayaan Tahun Baharu Cina ini dengan kebanyakannya melibatkan kad rebat dan kad yang gagal diaktifkan.

"Oleh itu, saya minta pegawai penguat kuasa untuk membuat suatu kajian teliti dan kita telah meminta pihak Touch ‘n Go membuat laporan secara berjadual yang mana laporan perlu dihantar secara kes demi kes untuk kita kenal pasti punca selain meneliti setiap aduan yang diterima,” katanya pada Sabtu.

Khamis lalu, pihak Touch n’ Go mengesahkan bahawa kad prabayar visanya yang baru dilancarkan tidak boleh digunakan bagi tujuan pembayaran tol di lebuh raya termasuk bagi pengangkutan awam.

Perkara itu berlaku difahamkan akibat Touch n’ Go tidak dapat menyatupadukan kedua-dua ciri Touch ‘n Go dan Visa Paywave NFC berikutan gangguan ketika fasa pembangunan awal kad prabayar berkenaan.

Sementara itu, Salahuddin berharap pasukan khas itu dapat membuat bedah siasat secara menyeluruh supaya isu yang timbul takkan berulang pada masa akan datang.

"Ketika ini, kita berdepan dengan isu kepenggunaan jalan raya yang meningkat disebabkan perayaan Tahun Baharu Cina, selepas ini sudah pasti kita juga bersedia untuk menyambut bulan puasa dan juga Hari Raya Aidilfitri.

“Oleh itu, atas dasar keprihatinan kepada rakyat, kita akan tengok perkembangannya pada minggu depan, setelah kita terima laporan itu diteliti.

“Jika tidak, pasukan khas ini akan diambil tindakan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!