Ayam RM5 jadi rebutan
TAPAH - Tidak sampai dua jam, ayam segar yang dijual RM5 seekor habis terjual sempena Jualan Harga Patut Koperasi Peringkat Parlimen Tapah di sini pada Sabtu.
Pengunjung yang ditemui, Yusof Yaakub, 38, mengakui amat gembira kerana dapat membeli barangan keperluan itu pada harga yang sangat berpatutan.
Jelasnya, walaupun jualan terhad kepada dua ekor ayam setiap pelanggan, ia tetap membantu meringankan beban.
"Alhamdulillah, saya dapat juga beli ayam ini sebab memang murah. Saya ada anak empat orang, jadi dua ekor ayam ini bolehlah jimat seminggu untuk sekeluarga makan.
"Beras pun murah, sekampit RM8 (5 kilogram). Ikan pun ada jual murah. Harap dibuat kerap jualan seumpama ini sebab memang membantu meringankan beban rakyat macam kami," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program tersebut.
Seorang lagi pelanggan, A Marry, 70, berkata, kuantiti barangan yang dijual perlu ditambah kerana jumlah sedia ada tidak mencukupi.
Menurutnya, barangan keperluan seperti ayam, ikan, sayur, minyak masak dan sebagainya memang akan menjadi rebutan apabila dijual pada harga lebih rendah dari pasaran.
"Memang jualan sebegini membantu ringankan beban rakyat tapi tak cukup barang-barangnya. Ramai yang tak dapat beli.
"Saya datang tadi pun dah tinggal sikit tapi orang masih ramai nak beli," katanya yang tinggal di Tapah.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Juara Tapah Berhad, Ishsam Shahruddin berkata, jualan tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Katanya, penjualan barang-barang keperluan itu memang bertujuan membantu meringankan beban rakyat setempat.
Jelasnya, barang-barang keperluan terpilih diberikan potongan harga sehingga 30 peratus.
Selain ayam, antara barang-barang lain yang dijual pada harga lebih rendah termasuklah daging sejuk beku berharga RM7 satu pek, sebiji kubis (RM2), beras 5kg (RM8), ikan keli (RM1 seekor) dan beberapa barangan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!