Misi terkam Sepanyol

Skuad negara harus mempamerkan semangat juang tinggi apabila berdepan Sepanyol di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India pada Ahad.
Skuad negara harus mempamerkan semangat juang tinggi apabila berdepan Sepanyol di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India pada Ahad.
A
A
A

TIDAK mustahil buat skuad hoki negara mengejutkan Sepanyol dalam aksi crossover Piala Dunia 2023 di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India pada Ahad, sekali gus menempah tiket ke perlawanan suku akhir Piala Dunia 2023.

Pengurus Malaysian Tigers, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, kemahuan dan kepercayaan untuk menang dalam diri setiap pemain harus tinggi untuk mengejutkan gergasi Eropah itu.

Menurutnya, barisan pemain negara juga tidak perlu gentar dengan pengalaman yang dimiliki Sepanyol selain perlu tampil agresif mencipta peluang jaringan pada perlawanan tersebut.

“Perlawanan klasifikasi menentang Sepanyol, it is a different ball game, keputusan apa pun boleh berlaku. Kita harus bawa elemen positif daripada kemenangan dengan New Zealand ke perlawanan ini.

“Peluang melangkah ke suku akhir itu ada jika kita berdisiplin ketika bertahan, menyudahkan peluang yang dicipta dan semua pemain bekerja keras sepanjang permainan.

“Saya menjangkakan satu perlawanan yang sukar apabila berdepan dengan Sepanyol nanti tetapi tidak mustahil untuk kita menang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Sepanyol yang berada di ranking kelapan dunia memiliki kelebihan berdasarkan rekod 18 pertemuan sebelum ini dengan Malaysian Tigers hanya menang tiga perlawanan dan dua keputusan seri, manakala selebihnya dikuasai pasukan lawan.

Namun, jika diukur prestasi dalam saingan Piala Dunia kali ini, Sepanyol tidaklah sekuat seperti yang dijangka apabila tewas dua perlawanan Kumpulan D iaitu kepada India 0-2 dan England (0-4) serta hanya meraih satu kemenangan ke atas Wales (5-1).

Dalam pada itu, Mirnawan turut menegaskan aspek bertahan akan menjadi perkara paling penting dalam perlawanan tersebut terutamanya untuk menangkis serangan yang bakal diatur Sepanyol.

“Pada tahap ini, semua pasukan akan bersedia untuk menghadapi lawan masing masing terutamanya dengan bantuan teknologi. Sukar sebenarnya untuk menyatakan kelemahan setiap pasukan.

“Ini disebabkan dalam setiap perlawanan, peluang akan dicipta oleh semua pasukan sama ada peluang menjaringkan gol dari gol padang atau pukulan sudut penalti.

“Kita hanya perlu fokus kepada kekuatan kita daripada fokus kepada kelemahan lawan. Jadi, peluang kita harus sudahkan dan pastikan kurangkan kesilapan di bahagian pertahanan,” ujarnya.

Dalam masa sama, ketajaman di bahagian jentera serangan terutama daripada peledak berbisa negara, Faizal Saari yang menjaringkan dua gol dalam perlawanan menentang New Zealand.

“Sebagai seorang pemain berpengalaman, itu yang kita harapkan daripada Faizal apabila mendapat peluang untuk sudahkan dengan baik.

“Namun, kita mengharapkan semua pemain berada ditahap terbaik. Baik penjaga gol, bahagian pertahanan dan serangan jika kita mahu melangkah ke suku akhir.

“Setiap pemain yang berada disituasi menjaringkan perlu menyudahkannya tak kira siapa kerana kemenangan pasukan itu lebih penting,” ujar Mirnawan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!