Cinta pandang pertama mekar hingga usia tua
JOHOR BAHRU - Agak jarang kita mendengar kisah cinta pandang pertama yang mampu bertahan atau berkekalan hingga ke hari tua.
Bagaimanapun, perkara berkenaan dibuktikan oleh pasangan warga emas, Bari Bajuri, 90, dan isteri, Juriah Ehsan, 77, yang mengakui hidup bahagia sehingga ke hari ini hasil daripada cinta pandang pertama, lebih 50 tahun lalu.
Lebih mengagumkan, kedua-duanya tidak pernah jatuh cinta atau menjalinkan hubungan cinta dengan individu lain sebelum bertemu buat kali pertama.
Biarpun tidak memiliki ‘pengalaman bercinta,’ namun pasangan warga emas ini membuktikan mereka mampu melayari hidup berumah tangga dengan bahagia sehingga ke hari ini.
Menceritakan detik awal pertemuan mereka, Bari yang masih kuat ingatannya berkata, dia bertemu dengan Juriah buat kali pertama ketika mengikuti abang Juriah yang juga sahabat karibnya pulang ke rumah.
Kata Bari, ketika itulah dia bertemu dan bertentang mata dengan Juriah buat kali pertama dan terus jatuh cinta.
“Adat orang dulu-dulu, manalah ada masa nak bercinta-cinta, masa jumpa Juriah kali pertama itulah saya rasa saya memang betul-betul jatuh hati (cinta).
“Masa itu umur saya kalau tak silap nak masuk 30 tahun dan bekerja di Jabatan Ukur di Johor, di Ulu Air Molek, dan Juriah pula 20 tahun. Selepas pertemuan tak sengaja itu, saya terus teringat-ingat dan boleh kata dah jatuh hatilah. Tanpa rasa segan terus beritahu sahabat saya (abang Juriah). Dia mulanya terkejut juga, tapi kemudian dia kata kalau suka masuklah meminang.
“Seminggu kemudian rombongan daripada pihak lelaki pun datang untuk ‘tengok’ pihak perempuan dan sebulan kemudian kami mengikat tali pertunangan dan bernikah enam bulan kemudian,” katanya kepada Sinar Ahad.
Pasangan warga emas itu berkahwin pada 1966 dan mereka dikurniakan enam anak, enam cucu serta dua cicit.
Kesemua anak Bari sudah pun bekerja dan tinggal berasingan kecuali anak perempuan keduanya yang kini tinggal bersama suami di kediamannya di Kampung Kurnia, Johor Bahru.
Ketika ditanya mengenai petua atau pun ‘rahsia’ mereka mengekalkan keharmonian rumah tangga sehingga lebih 50 tahun, pasangan warga emas itu berkata, setiap pasangan perlu bertolak ansur selain sering beralah ketika bertengkar atau berselisih faham sesama mereka.
“Kalau bergaduh, diam sahajalah...jangan cakap apa-apa. Kalau banyak sangat bercakap masa tengah marah, takut lain pulak yang jadi nanti...lagi pun kalau diam, lama-lama sejuklah.
“Masa itu barulah kita boleh nak cakap-cakap ke, nak tegur ke nak pujuk dan lain-lain lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!