Melacur isteri antara 10 punca perceraian

Melacur isteri untuk merangsang nafsu suami selain sebagai alternatif mendapatkan wang menjadi antara 10 punca berlakunya perceraian di negara ini. (Gambar hiasan) - Foto 123rf (Gambar kecil : Suzana)
Melacur isteri untuk merangsang nafsu suami selain sebagai alternatif mendapatkan wang menjadi antara 10 punca berlakunya perceraian di negara ini. (Gambar hiasan) - Foto 123rf (Gambar kecil : Suzana)
A
A
A

SHAH ALAM - Melacur isteri untuk merangsang nafsu suami selain sebagai alternatif mendapatkan wang menjadi antara 10 punca berlakunya perceraian di negara ini.

Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali berkata, isteri terpaksa bertahan dalam tempoh tertentu ekoran tidak mahu dilabelkan sebagai isteri derhaka.

“Walaupun tidak ramai, hanya tiga peratus tetapi kes ini wujud. Mereka sanggup dipergunakan suami kerana berfikiran perlu menjadi seorang isteri yang taat.

“Bagaimanapun, apabila mereka berjumpa saya dan diberi kaunseling, keputusan cerai perlu diambil demi masa depan,” katanya pada Sabtu.

Sinar Harian melaporkan peningkatan trend perceraian bagi pasangan beragama Islam saban tahun dilihat semakin membimbangkan.

Peguam Syarie, Nurul Syafawani Rahim dilaporkan berkata, statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia merekodkan sejumlah 45,420 kes perceraian dalam kalangan umat Islam yang telah didaftarkan di seluruh negara pada tahun 2021.

Sementara itu, Suzana berkata, hampir 90 peratus kes masalah rumah tangga disebabkan oleh kesempitan kewangan namun, bukan semua jadi punca utama cerai.

“Biasanya ia akan berkait dengan isu orang ketiga, baru berlakunya perceraian. Dalam banyak kes, selagi tidak ‘kantoi’ suami curang, ramai isteri bertahan walau berbelas atau berpuluh tahun menyara suami yang tidak bekerja.

“Berdasarkan kes-kes yang saya kendalikan, begitu ramai suami lepas tangan tentang bil semasa dan belanja makan pakai keluarga hanya kerana isteri bergaji malah ada yang jadi ‘biawak hidup’, semuanya ditanggung pasangan,” jelasnya.

Menurutnya, antara punca lain yang menyebabkan perceraian adalah mempunyai masalah dengan mertua dan ipar duai, kekangan kewangan, gagal menghargai perkahwinan serta jadikan pasangan sebagai tempat lepaskan amarah.

Suzana turut berkongsi tips rumah tangga yang mana pasangan berhasrat untuk berkahwin perlu faham maksud amanah dan tanggungjawab dalam perkahwinan.

“Akad nikah yang wujud dalam sebuah perkahwinan bukan hanya melibatkan janji antara pasangan tetapi janji manusia dengan ALLAH SWT.

“Laksanakan tanggungjawab dengan sedaya upaya dan sentiasa menjaga solat, maka wujud bahagia dan keredaan ALLAH SWT,” ujarnya.

Mengenai kepentingan kursus praperkahwinan dalam menekankan ilmu perancangan dan pengurusan kewangan, beliau memberitahu, ia merupakan perkara asas yang mana suami perlu membiaya keperluan rumah tangga.

“Kursus yang dibuat itu hanya untuk menegaskan tanggungjawab tersebut. Jakim juga telah melancarkan Kursus Pasca Perkahwinan pada 2016 yang telah ditambah baik daripada dua kepada tiga hari dua malam dengan pelbagai modul,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!