Anggota bomba gendong pendaki cedera turun bukit

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang berjaya membawa turun seorang wanita yang cedera selepas mendaki Gunung Jasar - Foto JBPM
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang berjaya membawa turun seorang wanita yang cedera selepas mendaki Gunung Jasar - Foto JBPM
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang berjaya membawa turun seorang wanita yang cedera selepas mendaki Gunung Jasar, di sini pada Sabtu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.40 petang, dan seramai tujuh anggota termasuk seorang pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan di kaki, sekali gus menyukarkan pergerakan semasa mendaki gunung itu bersama empat rakannya di kawasan Jungle Trail 10.

"Seramai lima orang yang mendaki Gunung Jasar itu. Tetapi seorang daripada mereka cedera. Manakala tiga pendaki wanita dan seorang lelaki yang lain selamat.

"Pasukan bomba telah bertindak menggendong mangsa yang cedera selain menggunakan pengusung," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, semua mangsa berjaya dibawa turun, dan mangsa yang cedera telah di hantar ke Hospital Tanah Rata untuk rawatan. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!