Mualaf tetap raikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga
KUALA TERENGGANU - Perbezaan pegangan agama tidak memisahkan seorang mualaf bersama keluarganya malah silaturahim antara mereka bertambah erat apabila sama-sama dapat berkumpul setiap kali perayaan Tahun Baharu Cina.
Lee Liang Yeou, 26, berkata, dia bersyukur kerana keluarga tidak pernah menyisihkannya setelah mengambil keputusan memeluk Islam tiga tahun lalu dan mendirikan rumah tangga bersama isteri, Nurul Akma Rosli, 26.
Malah jelasnya, bapanya, Lee Kok Khan, 64 dan ibu Toh Siew Hian, 60 berfikiran terbuka dan tidak pernah memulaukan dia setelah anutan agama mereka berbeza.
"Ketika mahu berkahwin, kedua ibu bapa saya hanya menasihatkan supaya saya fikir masak-masak kerana tidak mahu saya memeluk Islam hanya semata-mata untuk berkahwin.
"Saya bersyukur, mereka menerima kehadiran isteri dengan baik malah kasih sayang antara kami bertambah erat dengan kehadiran anak sulung, Muhammad Yusuf Lee yang kini berusia setahun," katanya ketika dihubungi, di sini, pada Ahad.
Anak bongsu dari dua beradik itu berkata, seperti tahun-tahun sebelum ini, perayaan Tahun Baharu Cina kali ini diraikan di rumah keluarganya di Jalan Air Jernih, di sini.
Dia yang juga seorang peniaga berkata, peluang meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarga dimanfaatkan sebaik mungkin.
"Selagi tidak melanggar syarak, saya akan usahakan untuk menggembirakan mereka. Ia juga bukti bahawa Islam amat menggalakkan kita berbakti kepada ibu bapa walaupun berlainan agama," ujarnya.
Menurutnya, antara juadah istimewa yang dihidangkan sempena perayaan kali ini ialah ikan kukus, udang galah serta menu berasaskan ayam
"Setiap kali perayaan kami suami isteri akan membantu keluarga membuat persiapan seperti menghias rumah, membeli pakaian baharu dan kelengkapan yang ingin digunakan.
"Kami juga akan berkumpul untuk makan besar dan berkunjung ke rumah saudara-mara untuk berkongsi kegembiraan mereka menyambut tahun baharu," katanya.
Liang Yeou berkata, bagi dirinya, perkahwinan campur dapat mengeratkan hubungan antara kaum, mengenali budaya dan mengasuh setiap individu untuk menghormati antara satu sama lain.
"Setiap yang diaturkan itu ada hikmahnya. Saya harap ramai keluarga di luar sana juga dapat berlapang dada sekiranya terdapat ahli keluarga yang ingin memeluk Islam.
"Hubungan darah daging tidak akan terputus kerana semua mualaf diingatkan agar tetap menjaga hubungan baik bersama keluarga masing-masing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!