Anwar gembira kembali semula ke Wisma MCA selepas 25 tahun
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kunjungannya ke Rumah Terbuka MCA itu adalah kali pertama sejak 25 tahun beliau memasuki ke Wisma MCA pada Ahad.
Ahli Parlimen Tambun itu turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kerana telah menjemput beliau dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk merayakan bersama sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini.
"Saya ingat, ini setelah 25 tahun sejak masuk ke gedung MCA dan saya gembira jumpa ramai kawan-kawan lama.
"MCA merupakan rakan dalam rangka persahabatan lama tetapi yang bagusnya adalah kita tidak pernah putus persahabatan.
"Walaupun berbeza parti dan pandangan dari masa ke masa, tetapi sekarang sudah berbalik semula," katanya kepada pemberita selepas sambutan Rumah Terbuka MCA pada Ahad.
Turut hadir adalah Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Kehadiran Anwar dan pimpinan PH ke majlis itu pada Ahad mencuri tumpuan ramai kerana 'seteru politik' itu kini duduk bersama sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan pada hari yang cukup bermakna khususnya bagi masyarakat Tionghua.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PH dan Perikatan Nasional (PN) adalah dua blok parti politik yang mendapat jumlah kerusi Dewan Rakyat tertinggi, masing-masing 82 dan 73 kerusi, namun tidak cukup majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.
Kedua-dua blok parti itu memerlukan sokongan Ahli Parlimen mewakili gabungan parti lain, termasuk BN yang menang 30 kerusi bagi mendapat sokongan sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.
Pada 19 November lalu, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan PH memenangi 82 kerusi di parlimen sedangkan jumlah yang diperolehi untuk mendapat majoriti mudah ialah 112.
Bagi mengatasi masalah tersebut, Kerajaan Perpaduan telah dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah setelah mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.
Di bawah pengaturan itu, Anwar akan mengetuai Kerajaan Perpaduan dengan Barisan Nasional (BN) sebagai rakan utama PH, serta Parti Gabungan Sarawak (PGS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!