KKM tutup sementara sistem e-Pharmacist
SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil keputusan menutup sementara sistem e-Pharmacist yang digunakan bagi pemilihan penempatan latihan siswazah bagi Pegawai Farmasi Gred UF41 selepas ia berhadapan dengan insiden gangguan capaian.
KKM dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada pasukan teknikal teknologi komunikasi maklumat (ICT) kementerian untuk menilai dan menangani gangguan teknikal tersebut.
Jelasnya, sistem e-Pharmacist itu akan dibuka semula pada tarikh baharu iaitu pada 30 Januari ini pada jam 12.00 tengah hari sehingga 1 Februari 2023.
"Tarikh melapor diri bagi mengikuti Program Transformasi Minda (PTM) masih dikekalkan pada 13 Februari 2023.
"Justeru, KKM meminta semua calon yang terlibat dapat bersabar dan mengakses semula sistem ini pada tarikh yang ditetapkan," katanya.
Menurut KKM, difahamkan seramai 627 calon ditawarkan pelantikan dan mereka perlu memilih penempatan latihan siswazah pada sesi kali ini.
Dalam pada itu, kementerian itu berkata, insiden gangguan capaian berkenaan dikesan pihaknya selepas menerima aduan daripada calon yang memohon.
Sehubungan itu, KKM berkata, antara isu dikenal pasti adalah calon tidak dapat mengakses sistem pada waktu ditetapkan sehingga menyebabkan calon lewat atau tidak dapat memilih penempatan latihan siswazah lebih awal.
Selain itu, capaian ke sistem yang perlahan atau lagging menyebabkan calon terpaksa menunggu lama untuk melengkapkan proses pemilihan penempatan.
Seterusnya, terdapat juga isu calon yang berjaya memilih penempatan di suatu fasiliti melebihi had slot latihan siswazah yang ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!