Beri duit kepada pengundi bergantung kepada niat - Hamzah
CHERAS - Pemberian duit semasa kempen pilihan raya adalah bergantung kepada niat dan tujuan seseorang itu, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, tidak sepatutnya memfokuskan kepada pemberian, namun punca duit itu diberikan.
“Apabila kita cakap pasal beri duit. Niat itu yang penting. Ada mereka minta duit untuk baiki rumah dan sebagainya.
“Oleh itu, kita perlu berhati-hati sebab niat kita bagi duit adalah kerana mereka (pengundi) yang memerlukannya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Perikatan Nasional (PN) di sini, pada Ahad.
Turut hadir, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Pada Sabtu, Abdul Hadi menyifatkan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.
Namun begitu, kenyataan yang dikeluarkan Abdul Hadi menerima pelbagai respon negatif terutama daripada pimpinan UMNO.
Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil meminta agar Abdul Hadi tidak mencari sebarang dalil bagi tujuan menghalalkan perbuatan rasuah.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menegaskan, tindakan memberi wang kepada pengundi semasa pilihan raya dan menyuruh mereka bersumpah untuk mengundi Pas bukan sedekah, sebaliknya ia adalah sogokan atau rasuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!